Diterbitkan pada 26 Mei 2024, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kemunculan wabak COVID-19 pada tahun 2020 telah menjadikan platform digital seperti media sosial menjadi pantas berkembang dan semakin maju.

Persatuan Booktube Malaysia atau lebih dikenali dengan Booktubemy telah mengambil peluang ini sebagai ruang untuk mereka menonjolkan pempengaruh buku bagi mereka yang ingin menghasilkan resensi buku sama ada dalam bentuk video, audio mahupun melalui penulisan.

Presiden Persatuan Booktube Malaysia, Hafiz Latiff berpendapat persatuan itu bukan sekadar berusaha untuk mengetengahkan pempengaruh buku dan penyedia kandungan yang berkualiti di Malaysia, bahkan lebih daripada itu, kongsinya dalam program bual bicara Booktubemy: Bukan Sekadar Pempengaruh Buku bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Kongsi Hafiz Latiff lagi,

 Selain menyediakan khidmat penciptaan kandungan, Persatuan Booktube Malaysia turut menawarkan khidmat pengurusan acara. Satu daripada contoh pengurusan acara yang diuruskan oleh persatuan itu ialah program Pentas Dunia Buku bersempena dengan PBAKL 2024 yang berlangsung di Dewan Merdeka, WTC.

Turut sama dalam perkongsian ilmu pada hari itu, Timbalan Presiden Persatuan Booktube Malaysia, Eiffelynne dan Baiduri MRosli sebagai moderator merancakkan lagi perkongsian dan pembincangan hangat berkaitan isu semasa dunia perbukuan.

Menurut Eiffelynne pula, Persatuan Booktube Malaysia turut menguruskan program Pelantar Dana Buku, iaitu pelantar penandaan awam DanaBuku yang diuruskan sejak bulan Ogos 2023.

Program ini diambil alih daripada Kelab Pencinta Buku Terengganu bagi membantu penulis-penulis di Malaysia menerbitkan buku secara kendiri ataupun melalui penerbit buku melalui dana awam.

Antara buku yang diterbitkan melalui program ini termasuklah, kumpulan puisi Bukan Perindu oleh Rafi Harumin, kumpulan puisi Manusia yang Diikat Jamin Tuhan oleh Khoo Phau Liang, Hayn ibn Yaqzan: Sebuah Advencer Falsafi yang diterjemahkan oleh Ahmad Muziru Idham Adnan dan Mohamad Syafiq Ismail dan buku Tanah Serendah dan Cerpen-cerpen Lain olen Naim al-Kalantani.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi