Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Pada 21 Mei 2024 bertempat di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung Program Bicara Ilmu Bahasa dan Sastera oleh seorang tokoh terpilih iaitu Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari yang bertajuk Mencari, Memilih dan Menikmati Puisi Artistik.
Program yang dijalankan secara bersemuka dan dalam talian ini telah dihadiri sebanyak 400 orang mahasiswa dan mahasiswi UPSI daripada pelbagai jurusan dan barisan pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.
Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari sebagai panel telah memilih untuk membicarakan mengenai puisi artistik yang menyentuh sedikit pemulaan dirinya yang terjun dalam bidang puisi tanah air.
Puisi pertama beliau yang terbit dalam majalah Dewan Sastera untuk bulan April pada tahun 1971 yang bertajuk “Buka Bicara” telah mendapat sokongan yang baik daripada Dharmawijaya pada ketika itu. Kongsi beliau,
Puisi artistik merupakan sebuah puisi yang betul-betul menjadi puisi dan juga melalui proses pemeraman serta pengeraman untuk memastikan puisi itu berkualti. Perbezaan antara kreatif dengan artistik dapat dilihat melalui maksud serta gaya penulisan itu sendiri. Kreatif dilihat secara luaran seperti bunyi rima pada baris-baris puisi, manakala artistik dilihat secara mendalam iaitu melibatkan maksud serta perkataan yang digunakan betul-betul membayangkan sesuatu.
Selain itu, perkongsian yang dibuat oleh SN Dato’ Rahman Shaari berkaitan dengan persembahan puisi artistik merupakan perkongsian ilmu yang jarang-jarang peserta dapati dalam mana-mana bengkel puisi di Malaysia. Kongsinya,
Persembahan puisi artistik merupakan sebuah persembahan yang menarik kerana menggabungkan elemen teater dan deklamasi sajak. Beliau turut menjelaskan bahawa persembahan teater yang akan memainkan peranan yang penting walaupun puisi itu tidak berapa baik namun persembahan yang dilakukan dapat membantu untuk menonjolkan puisi tersebut. Corak persembahan puisi artistik adalah secara bersambung-sambung.
Program Bicara Ilmu Bahasa dan Sastera: Mencari, Memilih dan Menikmati Puisi Artistik ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad dan dikendalikan sepenuhnya oleh Profesor Madya Dr. Ghazali Din sebagai moderator.