21 Mei 2024, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – “Untuk membina sebuah tamadun yang hebat, negara memerlukan ilmuwan untuk berada bersama-sama dengan masyarakatnya,” jelas Prof. Ts Dr. Khairul Anuar Kassim dalam program Apresiasi Bicara Ilmuwan Darulaman yang berlangsung pada 21 Mei, tempoh hari.

Program Apresiasi Bicara Ilmuwan Darulaman merupakan usaha yang dilakukan untuk mengiktiraf dan menggalakkan komunikasi berkesan daripada tokoh ilmuwan yang ingin berkongsi pengetahuan dan penemuan mereka dengan masyarakat, antaranya termasuklah, seminar, persidangan, perbincangan panel dan bengkel.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan dalam sesuatu bidang di kalangan masyarakat umum, serta memudahkan dialog antara tokoh ilmuwan dengan orang ramai tentang isu-isu penting dalam bidang sains dan teknologi.

program Apresiasi Bicara Ilmuwan Darulaman yang berlangsung pada 21 Mei 2024 bertempat di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah

Menerusi kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah serta Pusat Ilmuwan Darulaman, Program Apresiasi Bicara Ilmuwan Darulaman bersama-sama Prof. Ts Dr. Khairul Anuar Kassim telah diadakan di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.

Fokus yang diberikan melalui perkongsian ilmu pada hari itu lebih menjurus kepada pengalaman tokoh ilmuwan dalam bidang kejuruteraan awam, bermula daripada pengalaman beliau sewaktu belajar sehingga terjun ke dalam bidang pekerjaan yang sedikit sebanyak dapat menjadi inspirasi kepada peserta yang hadir.

Seorang daripada peserta yang menghangatkan lagi suasana dengan soalan-soalan semasa berkaitan sains dan teknologi.

Prof. Ts Dr. Khairul Anuar Kassim selaku Profesor Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), turut memberikan penekanan kepada golongan muda untuk tidak mudah terikut akan godaan dan ajakan rakan lain dengan menjebakkan diri ke arah yang melalaikan. Tegasnya,

Generasi muda perlu lebih fokus dalam mencapai tujuan dan impian mereka agar apa yang diusahakan tidak menjadi sia-sia

Persoalan berkenaan perkembangan teknologi dan kehadiran AI yang semakin pesat, dan adakah tenaga kerja manusia masih lagi diperlukan? Merupakan antara soalan yang berbangkit daripada peserta yang hadir melalui sesi dialog tersebut.

Menurut Prof. Ts Dr. Khairul Anuar Kassim, dalam kepesatan teknologi kini memang tidak dinafikan teknologi AI menguasai hampir keseluruhannya, akan tetapi teknologi juga ada batas yang tidak dapat menyami tenaga manusia.

Teknologi AI juga perlu pemantauan rapi dan keputusan daripada manusia. Oleh itu, kemajuan teknologi sejauh atau secanggih mana pun, masih memerlukan sokongan dari tenaga dan keputusan manusia untuk menentukannya.

Di akhir sesi dialog bersama-sama Prof. Ts Dr. Khairul Anuar Kassim, beliau mengharapkan golongan muda yang bakal menjadi pelapis negara untuk sentiasa menerapkan disiplin kendiri yang utuh dalam pembelajaran supaya lebih fokus dan memberanikan diri belajar dalam bidang kejuruteraan awam demi melahirkan lebih banyak lagi bakal jurutera yang hebat dan mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara dalam sektor kejuruteraan awam ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.