Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSelangor – Pesta Buku Khalid Jaafar yang berlangsung pada 2 dan 3 Mac lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pembaca dengan jumlah jualan sebanyak 1063 naskhah buku.
Datuk Khalid Jaafar atau lebih mesra disapa sebagai Pak Khalid berkata beliau menjual lebih kurang 2000 koleksi perpustakaan peribadinya yang dikumpulkan lebih 40 tahun itu disebabkan limpahan buku yang terlalu banyak di rumahnya.
“Bila umur saya dah lanjut, saya tidak mahu keluarga saya dibebankan dengan masalah buku. Ini selalu berlaku. Saya tak mahulah buku saya dimakan anai-anak. Jadi saya lepaskan bagi siapa yang saya rasa akan mengambil manfaat daripada buku saya,” katanya dalam satu sesi perkongsiannya di Biblio Cafe.
Pak Khalid yang juga penulis buku Tumit Akilis dan Metafizik & Kosmpolitanisme itu menyatakan ada sebahagian buku-bukunya yang dilepaskan itu masih tidak habis dibaca atau belum dibaca lagi.
Masih banyak lagi yang saya perlu lepaskan. Kerana saya lihat buku-buku ini tersimpan dalam rak saya, semakin membesar dan membesar, ia telah membentuk saya dan saya tak ada perancangan untuk menjadi kolektor buku.
Menurutnya lagi, dalam jualan yang dilakukan selama dua hari di kedai buku Pelita Dhihin itu hanyalah sekitar sekitar 20 peratus daripada koleksi peribadinya.
“Yang saya lepaskan ini, saya kata ia bukan koleksi terbaik sayalah. Yang terbaik, saya simpan. Jadi, yang ada pada saya memang saya takkan lepaskan beberapanya,” katanya.
Genre buku-buku yang dijual di Pesta Buku Khalid Jaafar anjuran Bukuku Press dengan kerjasama Pelita Dhihin meliputi bidang falsafah, politik, pemikiran Islam dan sastera itu hanya dijual dengan harga RM10 untuk buku kulit lembut manakala RM20 untuk buku berkulit keras.
Menurut Khalid, jualan buku-buku murah seperti ini dijalankan olehnya bagi membuka peluang kepada generasi baru untuk mendapatkan buku yang penting pada harga yang ekonomi.
Pemilik kedai buku Pelita Dhihin, Ahmad Saifuddin Amran berkata pesta buku tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila melihat tiket awal (early bird) masuk ke kedai buku tersebut terjual kepada sekitar 40 orang pengunjung.
“Buku yang berbaki (tidak terjual) sebanyak 23 kotak, masa ambil dengan Pak Khalid sebanyak 70 kotak. Jadinya hampir 70 peratus terjual,” katanya ketika ditemui Tunas Cipta.
Dalam pada itu, antara judul buku yang penting terjual dalam pesta tersebut ialah The Second World War karya bekas presiden United Kingdom, Winston Churchill. Dengan harga pasaran sekitar $99 USD (RM465), buku itu dijual dengan hanya RM60 di pesta tersebut.
“Antara pembeli yang hadir termasuklah Pengerusi Encorp Berhad dan mantan Ahli Parlimen Balik Pulau, Senator Yusmadi Yusoff; Nazir Harith Fadzilah dari Tintabudi; dan Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Mohd Jamizal Zainol.”
Saifuddin juga mengesahkan bahawa akan ada siri jualan yang seterusnya bagi memperkenalkan koleksi-koleksi tokoh intelektual yang lain.