29 Januari 2024, 14:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagi menambah komuniti pemuisi muda yang ada di ibu kota, Bait & Puisi muncul dengan konsep baca dan diskusi puisi di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, semalam.

Penganjuran ini dikelola oleh individu bernama Adrianna Wahid, pelajar Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).

Menurut Adrianna atau lebih mesra disapa sebagai Nana, program yang bakal berlangsung secara bulanan ini bertujuan untuk mengumpulkan pemuisi yang ada di sekitar Kuala Lumpur bagi menjayakan projek penerbitan zine atau buku puisi.

“Konsep yang kami gunakan agak sederhana, namun saya percaya acara seperti ini dapat menarik minat golongan muda. Pemuisi muda akan dijemput hadir ke Taman Botani dan akan membaca puisi mereka. Seterusnya, mereka akan membentangkan puisi tersebut kepada peserta yang lain,” kongsinya ketika ditemui Tunas Cipta.

Nana juga turut memberi komentar apabila beliau banyak menerima puisi yang dikira bersifat peribadi.

Memang kebanyakan puisi yang kami terima mempunyai dua sifat yang berbeza. Pertama, faktor keperluan akademik di tempat belajar dan yang kedua faktor pengalaman. Hasil daripada dua faktor inilah banyak hal yang terjalin dan menjadikan puisi yang diterima banyak bersifat peribadi.

Program Bait & Puisi di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, semalam.

Nana juga berkata pemilihan Taman Botani bukanlah sebuah lokasi yang tetap, mungkin mereka akan menukar lokasi acara tersebut bergantung kepada keperluan semasa.

Penyertaan acara yang diadakan buat julung-julung kalinya ini mendapat sambutan daripada sebanyak 10 orang peserta yang mengambil bahagian dan 10 orang peserta awam.

Menurut Nana, sebagai permulaannya, mereka akan mengehadkan penyertaan kepada sepuluh orang peserta untuk mendeklamasikan puisi, tetapi membuka ruang kepada yang lain untuk hadir bagi tujuan menyertai diskusi.

Sebarang perkembangan mengenai acara ini boleh diikuti di laman media sosial Instagram @baitdandiskusi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.