19 Januari 2024, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurForum Kopi, Rasa dan Jalur Rempah, Siri 1: Sejarah dan Tradisi Kopi dalam Peradaban Islam merupakan sebuah majlis perkongsian ilmu yang berlangsung pada 16 Januari 2024 bertempat di Convivencia Cafe, ISTAC-IIUM.

Siri pertama ini turut mengangkat tema yang menarik dengan mengetengahkan sejarah dan tradisi kopi dalam peradaban Islam yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican, profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM).

Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican, profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM).

Beliau menjelaskan bahawa minuman kopi pada mulanya hanya dikenali dalam kalangan umat Islam, sebelum merebak ke serata pelosok dunia dengan membawa bersama-sama warisan budaya dan intelektual Islam.

Selain itu, beliau turut mengetengahkan peranan kolonialisme dalam menjadikan kopi sebagai komoditi komersial di rantau Melayu sekali gus menyerlahkan faktor sejarah dan ekonomi yang akhirnya membentuk kelangsungan industri kopi di rantau ini.

Sesi soal jawab yang memberikan ruang buat peserta bertukar idea dan pengalaman mereka sepanjang forum ini berlangsung.

Forum Kopi, Rasa dan Jalur Rempah ini bukan sahaja berlangsung secara statik tetapi juga turut memberikan ruang buat peserta dalam sesi soal jawab yang secara tidak langsung telah menimbulkan perbincangan yang menarik dengan pelbagai pandangan dan pengalaman daripada para hadirin yang rata-ratanya merupakan pemain aktif dalam industri kopi.

Siri pertama untuk Forum Kopi, Rasa dan Jalur Rempah anjuran Pujangga Baru dengan kerjasama Convivencia Cafe, dan Malay-Islamic Civilization Unit, ISTAC-IIUM ini diharapkan akan lebih mendapat sambutan daripada khalayak umum dalam memahami dan menghayati tradisi makanan dan minuman dalam peradaban Islam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.