Oleh Amie Aiman
17 Januari 2024, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru –  Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR), DBP bekerjasama dalam meningkatkan kemahiran penulisan dalam bahasa Melayu melalui bengkel penulisan kreatif.

Timbalan Pengarah (Unit Sastera) DBPWS, Puan Azura Mohd Halid, dalam Bengkel Pemurnian Manuskrip Buku Informatif Kanak-kanak berkata bahawa titik mula perkembangan penulisan buku kanak-kanak di negeri Johor bermula selepas pandemik COVID-19.

Ujar Timbalan Pengarah (Unit Sastera) DBPWS lagi, sungguhpun kumpulan penulis ini kecil, namun mereka komited berkarya dengan bimbingan daripada pihak DBP. Kejayaan yang dicapai melalui bengkel ini memberikan harapan dan peluang kepada penulis untuk terus produktif dalam menghasilkan karya.

Puan Salmiah Kasmuni (berdiri paling kanan) berkongsi cerita dan ilustrasi bukunya bersama-sama peserta bagi tujuan pemurnian manuskrip yang dihasilkan.

Selaku pembimbing dan Editor Kanan Bahagian BKR, Puan Shakira Khairuddin berpendapat bahawa penganjuran bengkel seperti ini merupakan kejayaan yang besar kepada bahagian BKR kerana dalam tempoh masa enam bulan yang diberikan oleh mereka, penulis berjaya menyiapkan manuskrip bersama-sama ilustrasi yang menepati kehendak DBP. Jelasnya lagi,

Dalam tempoh enam bulan juga penulis dibimbing secara berperingkat dalam proses menghasilkan manuskrip yang sesuai untuk bahan bacaan kanak-kanak berbentuk informatif seawal usia 4 hingga 17 tahun.

Kedatangan BKR ke selatan pada kali ini telah berjaya membawa pulang 16 buah manuskrip buku informatif kanak-kanak dengan pelbagai tajuk dan teknik ilustrasi seperti lukisan kolaj, digital dan lukisan tangan yang bakal menarik perhatian pembaca apabila diterbitkan kelak.

Puan Azura (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Puan Shakira.

Bengkel ini turut dihadiri oleh penulis mapan dan baharu antaranya termasuklah, Zanariah Salam yang telah menghasilkan Siri Fenomena Alam terbitan DBP, Salmiah Kasmuni, Nazatulshima Nolan, Mokhtar Omar, Maslina Ngadiman, Siti Muisah Ali, Dr. Raja Zahilah Raja Mohd Radzi, Juhairiah Ali, Yusnorsyazana Mohd Yunus, Nurul Asyikin Ngadiso dan Faizah Yusof.

Melalui bengkel bimbingan seperti ini, DBPWS juga berharap agar kumpulan penulis baharu dan lama ini dapat kembali berkarya dan terus konsisten menghasilkan karya setiap tahun tanpa mengira genre.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.