16 Januari 2024, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selepas 23 tahun pementasannya, teater klasik Death of a Salesman karya Arthur Miller kembali semula sebagai sebuah karya terjemahan daripada pelajar Penulisan Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dengan bimbingan Christopher Ling yang telah berlangsung pada 12 hingga 14 Januari 2024, bertempat di Panggung BlackBox, ASWARA.

Satu daripada babak awal yang mencetuskan persoalan dan menarik cerita ke dalam kehidupan watak Willy Loman.

Pementasan yang berlangsung selama tiga jam ini telah berjaya memukau penonton yang hadir pada malam itu dengan rekaan set pentas yang memberikan gambaran kepada kekusutan pemikiran watak utama, Willy Loman yang tertekan dengan konflik keluarga serta kerjayanya sebagai seorang jurujual.

Rekaan set berbentuk 360 darjah yang berjaya memukau penonton pada malam itu.

Rekaan pentas yang bersifat 360 darjah ini telah berjaya membawa penonton untuk turut bersama-sama pelakon di ruang lakon yang menjadi dunia halusinasi Willy Loman. Setiap babak, digarap sempurna dengan bantuan rekaan kostum yang realistik serta rekaan cahaya yang memberikan kesan dramatik kepada penonton pada malam itu.

Marzuki Noh selaku pemegang watak Willy Loman turut menjelaskan bahawa pementasan kali ini dilihat sangat mencabar kerana watak Willy Loman memerlukan penghayatan yang mendalam dan menguji daya ingatan seorang pelakon yang perlu menghafal setiap dialog yang panjang dengan sempurna.

Reaksi seorang daripada penonton yang hadir menyaksikan pementasan nafas baharu Death of a Salesman.

Pelajar tahun kedua Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini merupakan kumpulan yang paling ramai melibatkan pelajar yang dinilai. Bagaimanapun, mereka masih mampu merealisasikan naskhah ini ke pentas teater dengan pementasan berbentuk eksperimental (ruang).

Naskhah yang dipilih dilihat sangat bersesuaian bagi tontonan umum dengan mengangkat nilai kekeluargaan dan kasih sayang antara ibu bapa dengan anak.

ASWARA sekali lagi dilihat sangat konsisten dalam mengekalkan pendekatan teori dan praktikal dalam setiap modul pembelajaran yang memberikan kelebihan kemahiran dan pengalaman serta persediaan pelajar ke dunia pekerjaan yang sebenar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.