16 Januari 2024, 17:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.” Itulah yang menjadi falsafah sekumpulan pelajar dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam memperkenalkan kembali perhiasan cucuk sanggul yang bakal menemui pengunjung Lembah Klang tidak lama lagi.

Pengurus acara, Nurul Najua Bahari berkata bahawa projek “Cucuk Sanggul 2024” yang merupakan sebahagian keperluan dalam Penilaian Tahun Akhir (PeTA) bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni, Budaya dan Warisan itu merupakan sebuah projek untuk memartabatkan cucuk sanggul sebagai sebuah warisan kesenian tempatan. Katanya,

“Projek ini terdiri daripada program keilmuan yang akan membincangkan mengenai kepelbagaian fungsi dan nilai estetika cucuk sanggul Melayu. Selain itu, melalui projek ini kami memfokuskan kearifan tempatan yang terdapat dalam cucuk sanggul Melayu dari sudut makna, falsafah dan keunikannya melalui sesi syarahan demonstrasi dan persembahan.”

Bercakap kepada Tunas Cipta, Nurul Najua berkata kumpulannya berharap program keilmuan ini bakal dijadikan sumber rujukan mengenai cucuk sanggul Melayu yang kini kurang mendapat perhatian generasi semasa. Tambahnya lagi,

“Kini, cucuk sanggul sangat sinonim dengan seni persembahan dan perkahwinan. Namun, tidak ramai yang tahu keunikan dan kearifan masyarakat Melayu terdahulu dalam penghasilan sesebuah seni warisan, terutamanya kita dapat lihat menerusi hasil kerja pertukangan kraf logam cucuk sanggul.”

Melalui program ini, kumpulannya bakal menampilkan demonstrasi pertukangan kraf logam cucuk sanggul daripada pensyarah dan pelajar jurusan kraf logam dari Institut Kraf Negara.

Keunikan yang ada pada cucuk sanggul Melayu ini diharap dapat dipelihara dan dipulihara semula oleh semua pihak supaya kekal terjaga dan menjadi sebuah khazanah warisan yang berharga buat negara kita.

Program keilmuan ini bakal dijalankan di Harta Space, Ampang, Selangor pada 20 Januari 2024 jam 10 pagi hingga 6 petang.

Pelbagai pengisian menarik yang bakal menemui pengunjung. Antaranya termasuklah, syarahan demonstrasi dan persembahan daripada pakar busana dan ahli akademik, pameran koleksi cucuk sanggul dan demonstrasi pertukangan cucuk sanggul.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.