15 Disember 2023, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem mengungguli hampir kesemua kategori anugerah dalam Majlis Anugerah Gemilang Siswa (MAGiS) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) 2023 dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah MAGiS ASWARA dalam kategori Fakulti Gemilang.

Majlis yang penuh gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) YB Khairul Firdaus Akbar Khan bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada malam semalam.

Dalam majlis tersebut, Anugerah Ikon ASWARA 2024-2025 telah diberikan kepada alumni Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Mas Zharif Zhafri Abdul Aziz yang kini bertugas sebagai penyampai berita di TV9.

Bagi Anugerah Asrama, dalam Kategori Anugerah Pelajar Paling Aktif Asrama dimenangi oleh Khairul Hafizar Abd Latiff dari fakulti yang sama.

Sementara itu, Mohd Arifin Ikhsan dari fakulti yang sama berjaya mengalahkan tiga calon lain dalam kategori Anugerah Pelajar Aktif Persembahan.

Bekas Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) 2022/2023, Amier Arrazi Mohd Jefferi yang kini berada di tahun akhir pengajian di fakulti yang sama mengungguli piala Anugerah Pemimpin Pelajar dan berjaya menewaskan empat calon yang lain.

Para pelajar dan pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem bergambar dengan piala dan sijil penghargaan masing-masing.

Mas Zhiddin Zhiddan Abdul Aziz juga dari Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem berjaya membawa pulang dua piala anugerah iaitu dalam Anugerah Malar Segar dan Anugerah MAGiS ASWARA (Pelajar Gemilang). Sebagai rekod, Mas Zhiddin juga merupakan penerima Anugerah Graduan Cemerlang Akademik, Anugerah Graduan Terbaik dan Calon Top Achiever Award 2023 semasa Istiadat Konvokesyen ASWARA 2023 pada November lalu.

Anugerah Daya Diri, diberikan kepada Tengku Nur Sajidah Tengku Khairi dari fakulti yang sama. Tengku Nur Sajidah merupakan penerima Anugerah Emas Rektor semasa di istiadat konvokesyen yang sama.

Sebagai menghargai jasa pensyarah di ASWARA, terdapat satu anugerah khas, iaitu Anugerah Inspirasi MAGiS (Pensyarah). Anugerah tersebut diberikan kepada Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan, pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

Dalam ucapan perasmian, YB Khairul Firdaus Akbar Khan berkata bahawa MAGiS 2023 bukan sekadar satu acara penyampaian anugerah semata-mata, tetapi satu bentuk penghargaan kepada kecemerlangan para pelajar yang sentiasa memberikan komitmen dalam memantapkan ilmu dalam konteks budaya dan warisan. Katanya dalam ucapan perasmian,

Pada malam ini kita bukan sekadar menyaksikan kejayaan individu-individu, malah kita menyaksikan pembentukan dan pembangunan modal insan dalam bidang seni dan budaya di negara kita.

Program tersebut merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), ASWARA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.