Diterbitkan pada 13 Disember 2023, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Suellen Sharif

Putrajaya – Bengkel Penulisan Artikel (Asas) telah berlangsung selama dua hari bersempena dengan Hari Terbuka Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) Putrajaya pada 9 dan 10 Disember lepas bertempat di Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) Presint 11.

Bengkel Penulisan Artikel (Asas) yang berlangsung di Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK), Presint 11.

Bengkel Penulisan Artikel (Asas) yang disampaikan oleh Azian Mohamed Isa, seorang penulis buku dan juga suri rumah sepenuh masa telah memberikan anjakan paradigma kepada para suri rumah yang turut serta dalam bengkel ini untuk mempertimbangkan kerjaya penulisan sebagai satu daripada nilai tambah buat mereka menjana pendapatan.

Penulis buku Blur, Clear, Jalan Pulangku, Relakslah dan Check It Out terbitan Galeri Ilmu ini juga merupakan kolumnis tetap bagi Tazkirah.com, sebuah laman web yang menyediakan kandungan bernuansa Islam turut menjelaskan,

Untuk menjadi penulis yang baik, kita seharusnya berilmu. Dengan menguasai ilmu, idea atau ilham itu dapat dikeluarkan dan dialirkan dengan baik. Teruslah menimba ilmu dengan membaca buku tentang penulisan dan sertai bengkel penulisan.

Pada awal bengkel Penulisan Artikel (Asas), peserta turut didedahkan dengan asas penulisan artikel merangkumi definisi penulisan, asas penulisan, jenis penulisan dan struktur dalam penulisan artikel yang menerangkan fungsi antara penulis, editor dan pembaca agar peserta jelas tentang gaya penulisan yang sesuai  digunakan untuk khalayak pembaca.

(kiri) Azian Mohamed Isa bersama-sama salah seorang peserta Bengkel Penulisan Artikel (Asas).

Bengkel ini juga merupakan satu daripada inisiatif untuk memberikan pendedahan kepada peserta memahami cara teknik penulisan artikel yang menepati kemahuan editor, sama ada dalam bentuk digital mahupun bercetak, mengikut gaya sesebuah rumah penerbitan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi