12 Disember 2023, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Festival Merakyatkan Seni 2023 @ Kuala Lumpur anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang dijalankan di Arena Sukan KL, Setapak pada 9 dan 10 Disember lalu telah menarik minat pelbagai golongan peserta terutamanya pelajar sekolah dan universiti.

Pelbagai bengkel seni budaya yang telah dijalankan antaranya termasuklah, bengkel komik (manga) untuk animasi, teater ke arah lakonan komersial, pembuatan patung wayang kulit dan bengkel tarian tradisional seperti Makyung, Zapin, Inang, Kuda Pacu dan Bollywood.

Bengkel yang dikelola oleh fakulti-fakulti daripada ASWARA dengan tenaga kerja berpengalaman luas dalam bidang masing-masing mendapat sambutan yang mengalakkan daripada peserta yang hadir.

Para pelajar daripada SMK Serendah khusyuk mendengar penerangan dalam bengkel teater ke arah lakonan komersial.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff menzahirkan kegembiraannya melihat festival sebegini dijalankan. Katanya dalam ucapan perasmian festival tersebut.

Sememangnya pihak MOTAC menyokong dan menggalakkan program sebegini diadakan dengan lebih kerap kerana ia merupakan medium terbaik dalam menarik minat generasi muda dan golongan belia untuk terlibat sama dalam aktiviti yang dapat memartabatkan seni budaya dan warisan negara.

Melihat kepada kehadiran dan sokongan tuan dan puan, melalui penglibatan berbengkel, pertandingan, persembahan dan pameran demonstrasi yang telah disusun rapi, secara tidak langsung saya percaya festival ini dapat memupuk minat masyarakat setempat khususnya mengenai bidang seni dan budaya yang terdapat di negara kita.

Dalam pada itu, Mohd Yusri juga berbangga dengan kehadiran dan penyertaan yang menggalakkan daripada kalangan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta masyarakat setempat yang menyertai festival tersebut dan ini merupakan satu petanda yang positif dalam usaha memartabatkan seni budaya pada masa akan datang.

Salah seorang peserta sedang tekun menghasilkan patung wayang kulit melalui Festival Merakyatkan Seni 2023 @ Kuala Lumpur.

Antara institusi yang menghantar penyertaan dalam bengkel anjuran ASWARA ini termasuklah, Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak; SK Leftenan Adnan, Kajang, Selangor; SK Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur; Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Banting, Selangor; Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Malaya; SMK Serendah, Selangor; dan daripada pelbagai institusi pengajian yang lain lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.