Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan program Jambori Sastera Kanak-kanak pada 30 November hingga 1 Disember 2023 bertempat di Sekolah Antarabangsa Pulau Pinang UPLANDS.
Program ini merupakan satu daripada kegiatan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang julung kali diadakan. Program ini memberikan pendedahan dan bimbingan karya sastera kepada pelajar yang menuntut di sekolah antarabangsa, terutamanya pelajar dari negara anggota MASTERA.
Dua orang tokoh yang diundang untuk mengendalikan Jambori Sastera Kanak-kanak ini ialah Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Puan Aminah Mokhtar, Penerima Anugerah S.E.A Write 2020.
SN Zurinah Hassan telah menyampaikan pendedahan tentang puisi Melayu Tradisional dan cara mengungkapkan pantun, melagukan syair, gurindam, seloka dan nazam. Beliau juga turut mengupas buku Hatimu Aisyah dalam slot khas untuk pelajar yang mengambil subjek bahasa Melayu sebagai bahasa pertama. Puan Aminah Mokhtar pula memberikan pengetahuan tentang karya sastera kanak-kanak, iaitu prosa dan puisi serta teknik menulis karya.
Jambori Sastera Kanak-kanak ini disertai oleh para pelajar Sekolah Antarabangsa Pulau Pinang UPLANDS yang mengambil subjek bahasa Melayu. Selain itu, SMK Bukit Jambul juga turut menyertai program ini.
Turut hadir dalam majlis penutupan program ialah Pengetua Sekolah Antarabangsa Pulau Pinang UPLANDS, Mr. Dr. Marc Mesich, Encik Armin Azhari Saleh, Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Alice Matias, Ketua Unit Bahasa Asing, Puan Farah Buruhanudeen, Guru Bahasa dan Sastera Melayu dan pegawai Bahagian Promosi dan Pengiktirafan.
Pengetua Sekolah Antarabangsa Pulau Pinang UPLANDS, Mr. Dr. Marc Mesich dalam ucapan penutupan program turut mengungkapkan serangkap pantun:
Merah menyala si buah Ceri,
Sungguh cantik berseri-seri;
Terima kasih ucapan diberi,
Kerana sudi datang ke mari.