Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Wacana Kandungan: Autopsi Kandungan Kreatif Melestari Warga Digital yang mengumpulkan pakar industri dan ilmuwan untuk membicarakan cabaran dalam landskap pencipta kandungan pada 28 November 2023, yang lalu.
Seminar anjuran CMCF dan SCIMPA ini dianjurkan sebagai inisiatif bagi mendalami bidang tumpuan utama berkenaan kebanjiran kandungan di Internet, pematuhan kepada undang-undang sedia ada, penciptaan kandungan yang berhemah dan menggalakkan pemikiran kritis masyarakat yang turut menekankan peranan penting pencipta kandungan dalam mendidik warga digital, agar menerapkan nilai murni dan sentiasa bertanggungjawab atas kandungan yang dihasilkan dengan kawalan kendiri.
Dalam kenyataan pembuka majlis, Dekan SCIMPA, UUM, Profesor Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin berhasrat agar setiap pengkarya dapat mengutamakan integriti yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat di Malaysia agar karya yang dihasilkan tidak melanggar Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CMCF, Puan Mediha Mahmood, turut menasihatkan agar para pencipta kandungan dapat memanfaatkan kreativiti dengan merujuk kepada Kod Kandungan dan menyarankan agar para penonton menggunakan budi bicara sendiri untuk menilai dan memilih kandungan yang sesuai dengan diri masing-masing. Jelasnya,
Pihak CMCF sentiasa berusaha untuk memperkasakan pelapis pemimpin industri masa depan melalui pendidikan dan kesedaran daripada peringkat akar umbi dengan kawalan kendiri.
Dalam menerokai pelbagai aspek tanggungjawab pencipta kandungan, ahli panel turut mendalami cabaran yang menekankan keseimbangan yang diperlukan antara hiburan yang memenuhi permintaan masyarakat dan kandungan yang menerapkan elemen sosiobudaya dalam berkarya.