Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor Bahru – Program Mengembara Bersama Sasterawan Negara (SN) Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) melalui kerjasama dengan Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung pada 16 November bertempat di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru.
Dalam program tersebut, SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menzahirkan rasa gembira dapat bertemu dan berkongsi ilmu serta pengalaman beliau dalam dunia kesusasteraan Melayu bersama-sama warga UTM. Kongsinya,
Melalui pengembaraan ke serata dunia serta semakin banyak langkah yang kita tempuh, maka semakin besar ilmu yang dapat kita peroleh. Pengembaraan ini merentasi tidak hanya sempadan fizikal, tetapi juga sempadan bahasa bagi mencari titik pertemuan antara budaya yang berbeza.
Beliau turut menegaskan bahawa mengembara merentasi sempadan budaya bukanlah sekadar suatu pengembaraan, tetapi merupakan usaha tulus menyelami dan memahami secara mendalam warisan serta identiti dalam diri kita sebagai bangsa yang bermaruah dan berdaulat.
Menurutnya lagi, tiada pengalaman yang lebih memuaskan selain daripada bertemu dengan cendekiawan yang kaya ilmu pengetahuannya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah DBPWS, Encik Mohd. Riduwan Wahab dan Ketua Pustakawan UTM Johor, Puan Nor Asikin Mohamad.