Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Lutfi Hussaini
Sintok – Bengkel dan Forum Teater Karya Sasterawan Negara (SN) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung di Pusat Penginapan Pelajar (SAC), UUM pada 11 November lepas.
Sebanyak 70 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) dan Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT), UUM telah terlibat dalam bengkel yang dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Rosdeen Subuh, Taiyudin Bakar serta tenaga pengajar dari Universiti Malaya (UM).

Program ini pada awalnya dijalankan bagi mengasah bakat para pelajar yang berpotensi besar dalam melahirkan pelapis baharu yang berkualiti untuk menyertai pelbagai acara yang melibatkan teater serta dapat mengendalikan sebuah pementasan teater (sama ada terlibat sebagai tenaga produksi atau pelakon).
Melalui bengkel ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan sebagai pengisian ilmu selain mempelajari teknik dan asas lakonan pentas. Aktiviti yang dijalankan termasuklah, mempelajari sistem regangan badan yang betul, memperbaiki cara pernafasan, teknik vokal, aktiviti berkumpulan serta persembahan lakonan semula tentang perjalanan dan halangan Tunku Abdul Rahman dan masyarakat Tanah Melayu yang bertungkus-lumus mendapatkan kemerdekaan.

Forum khas yang bertajuk “Makna Kemerdekaan yang Sebenar” pula membincangkan naskhah pilihan Sasterawan Negara Noordin Hassan bertajuk Tiang Seri Tegak Berlima. Perbincangan tentang cara kehidupan zaman sebelum dan selepas kemerdekaan, sistem pendidikan, sosiobudaya dan agama dilihat memberikan sudut pandangan yang berbeza buat peserta.
Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah para pensyarah daripada SLCP, Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam, Dr. Maizatul Azura Yahya, Dr. Mashetoh Abd Mutalib, Dr. Rohaya Md Ali, Dr. Phat Awang Deng dan Dr. Mohamed Nazreen Shahul.