Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) sekali lagi berganding usaha dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) bagi penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Sains dan Teknologi Peringkat Negeri Kelantan 2023.
Pertandingan tersebut yang bermula pada peringkat saringan secara dalam talian pada 25 September hingga 30 Oktober lepas merupakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
Hampir 200 penyertaan pada peringkat saringan telah diterima bagi tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu 123 orang peserta Kategori Sekolah Rendah, 40 orang peserta Kategori Sekolah Menengah, dan 35 orang peserta Kategori Terbuka.
Para peserta telah menghantar video rakaman deklamasi bagi puisi yang dipilih daripada buku Antologi Puisi Sains dan Teknologi 2023 ‘Bagaimana Sekiranya Epal Bertanya’, terbitan GEMA (selenggaraan oleh Tuan Siti Mastazameatun) ke laman Facebook GEMA dan diadili secara dalam talian.
Seramai 15 orang peserta Sekolah Rendah dan 9 orang peserta masing-masing bagi kategori Sekolah Menengah dan Terbuka telah terpilih untuk berentap di pentas akhir yang diadakan pada 13 November lepas di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan.
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj. Kamarudin B. Md. Nor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri Kelantan. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT dan En. Zainal Abidin Muhammad, Ketua 1 GEMA.
Menerusi ucapan YB Datuk Hj. Kamarudin, sains dan teknologi merupakan inovasi yang bertujuan memudahkan urusan seharian manusia, namun begitu seandainya disalahgunakan untuk kepentingan peribadi, maka ia mampu membinasakan banyak jiwa yang tidak berdosa.
Encik Zainal Abidin pula mengatakan bahawa keberjayaan dan kemudaratan inovasi kepada manusia dan alam telah dipuitiskan mesejnya dalam antologi terbitan GEMA tersebut yang bakal digunakan untuk sayembara ini bagi tempoh lima tahun akan datang. Beliau turut merakamkan penghargaannya di atas dengan sambutan yang menggalakkan daripada para peserta pada tahun ini.
Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail turut merakamkan kegembiraan yang sama kerana sayembara ini hakikatnya berjaya menggantikan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa sebelum ini. Beliau mengharapkan agar penganjuran bersama-sama antara GEMA dengan DBPWT ini akan sentiasa mendapat sokongan dan galakan daripada Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan rakyat setempat.
Sayembara ini menobatkan Mukhtar Muhiddin sebagai Johan Kategori Terbuka, diikuti oleh Nur Fatin Izzati Zakaria sebagai Naib Johan, dan Nik Fateeha Syuhada Imran di tempat ketiga.
Naeema Natasya Puteri Mohd Ghazali dari SMK Pengkalan Chepa pula berjaya merangkul Johan Kategori Sekolah Menengah. Naib johan dimenangi oleh Nur Wafa Aishy Muhammad Zuhairi dari SMKA Melor, dan tempat ketiga diraih oleh Muhammad Zaffran Zulkifli dari SMK Tengku Indera Petra.
Bagi kategori Sekolah Rendah pula, Nur Izzatul Rania Mohd Shukri dari SK Paloh 3 meraih johan, manakala naib johan ialah Tuan Nur Adni Qaisara Tuan Nazir dari SK Raja Bahar dan Mohd. Bukhari Mohd Ilman dari SK Buloh Poh di tempat ketiga.
Pemenang Hadiah Khas Juri yang menobatkan peserta dengan jumlah kongsi terbanyak dari FB GEMA pula ialah Amy Suzani Mohd Ainuddin (Terbuka), Naeema Natasya Puteri Mohd Ghazali (Sekolah Menengah), dan Nur Rania Humayraa Mazlan (Sekolah Rendah).