Oleh Putraery Ussin
13 November 2023, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baling – Bengkel Penulisan Kreatif yang berlangsung pada 11 November lepas telah dihadiri oleh sebanyak 31 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, Kedah.

Kesungguhan pelajar UniSHAMS ini dilihat melalui usaha mereka yang bersama-sama mengumpul wang perbelanjaan untuk membawa Putraery Ussin (penulis), sebagai pembimbing bagi membantu karya mereka menembusi pasaran negara, terutamanya dalam majalah dan akhbar tempatan.

Menurut Nur Husnina Hafuzi, Setiausaha Kelab Bahasa Melayu (KBM) UniSHAMS, hasrat ini sudah lama terpendam dan menunggu masa untuk direalisasikan, namun atas beberapa kekangan seperti masa dan kewangan, perkara itu menjadi halangan utama buat mereka dan terpaksa ditunda.

Para peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Kegelisahan terhadap kualiti karya sendiri menjadikan kebimbangan itu sedikit sebanyak menyekat langkah penulis-penulis muda ini untuk menghantar karya ke rumah penerbitan untuk diterbitkan.

Selaku penulis yang banyak menerbitkan karya di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Putraery Ussin juga menegaskan karya yang diterbitkan dengan DBP bukanlah sukar. Penulis hanya perlu yakin dan memastikan karya yang dihantar memenuhi kehendak penerbit seperti jalan cerita yang menarik, bahasa yang indah serta tidak menyentuh sensitiviti perkauman di negara ini.

Selaku Presiden KBM UniSHAMS, Tengku Abdul Hayyi Raja Zainal menggesa agar semua peserta dapat menghasilkan karya dengan kualiti yang terbaik sebagai peluang mereka menceburi dunia penulisan kreatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.