Diterbitkan pada 17 Oktober 2023, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selangor – Sebuah teater yang diilhamkan daripada tragedi kematian seorang pelajar akibat buli, telah dipentaskan di Bleenk Box Studio, Petaling Jaya pada 13 hingga 15 Oktober 2023 yang lalu.

Pementasan teater Along tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton. Mereka berasa begitu terkesan kerana dapat mengimbau kembali tragedi yang menimpa pelajar tersebut.

Barisan pelakon yang menjayakan pementasan teater Along.

Menurut Azrie Izham Hamzah, penulisan skrip drama ini terhasil dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2. Idea tercetus hasil daripada perbualan antara beliau dengan rakan-rakannya tentang isu kematian seorang pelajar di sebuah universiti terkemuka sewaktu menjalani latihan ketenteraan. Kongsinya,

Sebenarnya, ada dalam kalangan ahli keluarga dalam produksi kami terlibat secara tidak langsung dengan kes tersebut.

Walaupun masyarakat sedia maklum tentang kes kematian pelajar tersebut, tetapi Azrie berpendirian bahawa beliau tidak mahu menulis skrip tersebut terlalu dekat dengan situasi kejadian, tetapi hanya mengambil sedikit inspirasi daripada kejadian seperti itu.

Wawancara bersama-sama penulis utama skrip teater Along, Azrie Izham Hamzah.

Menurut Azrie lagi, idea asal penghasilan skrip ini merupakan sebuah monodrama. Namun demikian, apabila memikirkannya peluang kepada bakat baharu dan berpengalaman, jadi beliau meneroka watak tersebut bagi setiap individu.

Menikmati lakonan pelakon yang membawa watak Along lakonan Sunio Rushairi, Izzat (Ameerol Rahman), Adik (Isya Filzah), Ikhwan (Azwan Ahmadi) Aqil (Abbas Mahmood), Ayah (Akmal Ahmad) dan Ibu (Najua P. Ramlee) menyebabkan hampir keseluruhan panggung teater tersebut dihujani dengan kesuraman dan kesedihan yang melampau.

Antara babak paling tegang dalam teater Along. Dari kiri, Izzat (Ameerol Rahman), Along (Sunio Rushairi), Aqil (Abbas Mahmood) dan Ikhwan (Azwan Ahmadi).

Melalui skrip Along, Azrie dan dua penulis lain, iaitu Anis A. Azam dan Rashid Shikh Abdullah cuba untuk meneroka dari sudut pandang watak yang paling dekat dengan mangsa seperti ahli keluarganya. Ulasnya,

Ketika menulis skrip ini, saya bukan sahaja memikirkan kezaliman yang terjadi kepada mangsa, tetapi saya lebih menginginkan trauma yang dialami oleh ahli keluarga. Contohnya, bagaimanakah ahli keluarga mangsa meneruskan kehidupan mereka.

Dalam pada itu, Azrie juga berharap teater ini dapat dipentaskan sekali lagi di pentas yang lebih terbuka dan dapat menampung kapasiti penonton yang banyak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi