Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Temasya Sastera Rakyat Malaysia (Malaysia Folklore Literature Exposition) anjuran Pertubuhan Komuniti Seni Melayu melalui kerjasama International Institute of Islamic Thought and Civilasation (ISTAC) telah berlangsung pada 6 dan 7 Oktober 2023 bertempat di ISTAC, Kuala Lumpur.
Program Temasya Sastera Rakyat Malaysia ini turut menghimpunkan sebanyak lapan aktiviti menarik sebagai satu daripada tarikan kepada pengunjung dalam memperkasa dan membudayakan sastera rakyat kepada masyarakat tempatan dan luar negara.
Sebanyak lapan aktiviti yang dianjurkan bersempena dengan temasya ini antaranya termasuklah, Bengkel Penulisan Kreatif, Persembahan Dikir Barat, Pertandingan Bercerita Kanak-kanak Orang Asli, Persembahan Wayang Kulit, Persembahan Penglipur Lara, Cantonese Opera, Forum serta jualan buku daripada rumah penerbitan seperti Katapilar, Toko Buku Pujangga Baru, dan CENDEKIA.

Tarikan Temasya Sastera Rakyat Malaysia ini terletak pada persembahan kebudayaan pelbagai bangsa yang sekali gus membuka mata pengunjung tentang keunikan seni budaya rakyat Malaysia yang kebanyakannya bermula daripada sastera lisan rakyat sehingga tersebar dan meluas sebagai sebuah pertunjukan yang bersifat mendidik dan menghibur dalam pada masa yang sama.

Program yang berlangsung selama dua hari ini turut membawakan beberapa nama besar bersempena dengan dua forum utama yang berlangsung pada dua hari tersebut.
Antara ahli panel yang terlibat termasuklah, YBhg. Dato’ Aripin Said, Ts Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Zalina Abdul Aziz, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar, Milyana Arshad dan Dr. Patricia Ann Hardwick.