2 Oktober 2023, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Komik pertama kartunis terkenal Malaysia, Seniman Diraja Dato’ Mohammad Nor Mohd Khalid dibida dengan harga RM3888 pada Sabtu lalu.

Komik tidak berwarna setebal 24 halaman itu diiklankan oleh pemilik akaun Facebook Ross Limbong pada hari Sabtu kira-kira pukul 11.46 pagi. Menurutnya, bidaan bermula dengan harga RM1 dan akan tamat pada hari tersebut juga pada pukul 9.59 malam.

Komik bertajuk Tiga Sekawan Menangkap Penchuri yang diterbitkan oleh Sinaran Bros, Pulau Pinang pada tahun 1964 itu menarik minat para pemburu buku-buku langka.

Komik yang mempunyai tanda harga “35 sen” pada kulit buku itu dikatakan mendapat bidaan tertinggi setakat ini dalam sejarah grup “Kolektor Buku2 Semalaysia” di pelantar Facebook.

Komik tersebut mengisahkan tiga budak-budak tolol yang dapat membantu menangkap dua orang pencuri.

Komik ini dilukis oleh Dato’ Lat ketika beliau berusia 13 tahun. (Sumber gambar: Ross Limbong)

Penjual komik tersebut yang ingin dikenali sebagai Ross Limbong berkata, beliau tidak menyangka harga bidaan komik itu boleh mencapai sehingga ribuan ringgit. Apabila ditanya berkenaan mengapakah beliau menjual naskhah tersebut, katanya,

Saya menjualnya untuk kelangsungan hidup.

Beliau yang memang penjual dan juga pengumpul buku-buku nadir itu turut berkata bahawa beliau tidak tahu buku Lat yang bertajuk Tiga Sekawan Menangkap Penchuri itu amat langka, susah ditemukan pada masa ini dan amat bernilai, tapi biarlah dijaga oleh peminat yang betul-betul tahu menghargai.

Oleh sebab itu, saya melepaskan dan membuat bidaan untuk sahabat yang sentiasa setia memberikan sokongan kepada Facebook Razis Kassim dan Ross Limbong.

Pemenang bidaan tersebut ialah pemilik akaun Facebook WMk Izzad dengan bidaan RM3888 tepat pukul 9.59 malam. Beliau yang memang mengikuti bidaan tersebut dari awal cuba untuk bersaing dengan pengguna Facebook yang lain dengan harga ratusan sehingga ribuan ringgit.

Ketika dihubungi penulis, beliau berkata komik karya sulung Seniman Diraja yang dikenali sebagai Dato’ Lat itu sangat bernilai bagi kolektor buku langka. WMk Izzat atau nama sebenarnya Wan Mohd Khairul Izzat Wan Yahaya itu terkejut namun bersyukur tidak terhingga dengan kemenangan yang diperolehinya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata beliau akan menyimpan buku itu dengan sebaik-baiknya.

Insya-Allah saya akan jaga dan simpan buku ini sebaik-baiknya. Bagi saya, satu kepuasan bila dapat baca dan jaga khazanah kertas ni.

Beliau juga berkongsi pengalamannya dalam mengumpul buku-buku langka. Katanya, beliau mula berjinak-jinak dalam pengumpulan buku-buku dengan status ini sekitar tiga tahun lalu. Jelasnya,

Sebenarnya saya mula mengumpul buku-buku langka sejak tiga tahun lepas. Masih baru dalam bidang ni berbanding dengan kolektor lain yang mula mengumpul sejak berpuluh-puluh tahun dulu. Namun banyak bantuan, ilmu, info yang saya peroleh daripada kawan-kawan kolektor lain.

Sebagai rekod, bidaan tertinggi yang pernah berlangsung dalam komuniti maya itu ialah buku The Journal of J.W.W Birch 1874–1875 yang dibida pada tahun 2021. Hantaran iklan itu dibuka oleh pengguna Facebook bernama Amirul Hamudin dengan harga tapak RM100.

Sebelum ini, buku J.W.W Birch inilah yang menjadi sejarah bidaan tertinggi (RM2,300) pada tahun lalu. (Sumber gambar: Amirul Hamudin)

Pada saat akhir bidaan, bekas Ahli Parlimen Kangar yang kini bertugas sebagai Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Noor Amin Ahmad meletakkan harga RM2500, sekali gus menjadikannya pemenang bidaan untuk buku langka tersebut.

Buku tersebut juga muncul sekali lagi dalam komuniti itu pada bulan Januari tahun lalu dengan jualan harga RM2300.

Dimaklumkan bahawa sebelum sejarah bidaan tertinggi itu berlaku, hanya ada sebuah buku yang pernah dibida dengan harga ribuan ringgit, iaitu The Mysticism of Hamzah Fansuri hasil karya Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan harga RM1500 pada tahun 2016. Buku itu juga pernah dijual dengan tanda harga RM2300 pada tahun 2018.

Walaupun bukan melalui bidaan dan grup komuniti buku tersebut, karya nadir Syed Muhammad Naquib al-Attas juga dijual dengan harga RM2,300.

Grup buku “Kolektor Buku2 Semalaysia” ditubuhkan pada 21 September 2013 dan kini mempunyai ahli sekitar 39 100 keahlian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.