26 September 2023, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Perpustakaan Awam Cawangan Kuala Kangsar (PACKK) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak menganjurkan Karnival Seni dan Sastera Negeri Perak (KSNP) di premis PACKK pada 23 September 2023 yang lalu.

Pelbagai acara menarik telah diadakan di beberapa lokasi di situ yang bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 3.00 petang. Perasmian KSNP telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kuala Kangsar, iaitu Tuan Zulhisham Ahmad Shukori di Pentas Utama PACKK.

Pelibatan orang muda dalam pertandingan deklamasi puisi.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran KSNP merupakan satu daripada peluang untuk mendidik anak-anak mengenali, dan menghayati pelbagai cabang kesenian.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah Abdul Aziz; Ketua Kebudayaan Daerah Kuala Kangsar merangkap Ahli Lembaga Perpustakaan Negeri Perak, dan Ketua Satu Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak, Tuan Haji Abdul Rashid Ahmad Rafie; Timbalan Ketua Satu dan ahli jawatankuasa LEPAS Perak.

Dalam ucapan alu-aluan, Puan Rafidah mengatakan bahawa penganjuran KSNP dapat membangkitkan semula budaya dan warisan seni negeri Perak.

Sebagaimana yang diketahui, negeri Perak kaya dan unik dengan kebudayaan yang tersendiri. Kesemuanya perlu sentiasa dipelihara sampai bila-bila.

Menurut pengunjung muda, Nurul Iman Natasha (14 tahun), penganjuran KSNP sangat berkesan untuk anak muda sepertinya menimba ilmu dengan lebih mendalam, terutama berkaitan dengan kesenian tradisional.

Bagi saya, ini merupakan satu daripada langkah memperoleh pengetahuan. Kadang-kadang kita terlupa, tidak terdorong sendiri atau terhalang oleh kesibukan untuk mengkaji kesenian tradisional.

Rakannya Afiqah Nursarah pula berpendapat bahawa program sebegini perlu diteruskan sampai bila-bila, apatah lagi di tengah-tengah cabaran zaman sekarang.

Walaupun sekarang ada pelbagai jenis peranti, tetapi banyak anak muda yang tidak mempedulikan maklumat mengenai baju kurung, dan kuih-muih tradisional misalnya. 

Antara acara lain yang diadakan di Pentas Utama PACKK termasuklah Bicara Seni: Minat dan Kerjaya Seni, persembahan tarian tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak, tiga sesi cabutan bertuah, pertandingan deklamasi puisi yang disertai oleh 16 orang peserta, pertandingan permainan tradisional (congkak dan batu seremban) dan majlis penyampaian hadiah kepada peserta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.