Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pada 18 September 2023, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsungnya Majlis Perasmian Sayembara Penulisan Kreatif dan Deklamasi Puisi serta Pelancaran e-Puisi yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Pkharuddin Haji Ghazali.
Tetamu kehormat yang hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali dan SN YBhg. Dato’ Rahman Shaari.

UMW melalui kerjasama dengan DBP telah memperkenalkan e-Puisi dan modul pembelajaran puisi dalam talian sebagai platform pembelajaran yang inovatif kepada pelajar atau yang berminat untuk mempelajari seni gubahan dan teknik penyampaian puisi melalui proses pembelajaran yang fleksibel dan mudah difahami.
Pelibatan Kumpulan UMW dalam program ini adalah selaras dengan tanggungjawab sosial korporatnya untuk mempromosikan seni dan sastera sebagai satu daripada khazanah negara yang merupakan sebahagian daripada inisiatif pembinaan negara.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, SN YBhg. Dato’ Dr. Anuar Ridhwan dalam ucapan alu-aluannya mengatakan bahawa DBP dengan kerjasama UMW menerusi kelab kreatif UMW merupakan usaha mencungkil dan membina bakat penulis dalam kalangan murid sekolah rendah, menengah dan pelajar institusi pengajian tinggi awam dalam menghasilkan karya sastera kreatif, iaitu genre puisi.
Sebagai langkah penambaikan pelaksanaan sayembara tahun lalu, modul pembelajaran teknik penulisan dan deklamasi puisi secara dalam talian yang dikenali sebagai e-puisi.
Menerusi e-puisi, peserta akan dibimbing untuk menghasilkan karya dan mereka juga akan didedahkan pada bentuk asas penulisan dan cara untuk mencuri ilham semasa menulis.

Usaha UMW dan DBP dalam memberikan kesedaran dan celik sastera dalam kalangan pelajar sama ada pada peringkat sekolah rendah, menengah mahupun universiti merupakan usaha baik untuk memastikan bahawa kesusasteraan Melayu sentiasa berkembang maju.