10 September 2023, 02:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Bertempat di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 9 September 2023, Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang 2023, telah berlangsung dengan jayanya dengan menampilkan 11 penerima anugerah pada tahun ini.

Dr. Vanitha a/p Thurairasu, penerima Anugerah Sasterawan Bukan Melayu Negeri Pulau Pinang.

Majlis Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) pada kali ini, dilihat turut menobatkan beberapa penulis muda yang berjaya menyajikan karya mereka yang berkualiti dalam bidang sastera tanah air negara. Anugerah ini secara tidak langsung menggalakkan para penulis muda untuk terus berkarya dengan mengiktiraf sumbangan mereka dalam dunia penulisan sastera di negeri Pulau Pinang.

Menurut Dr. Vanitha a/p Thurairasu, ASNPP pastinya memberikan impak yang baik kepada dunia sastera tanah air kerana pengiktirafan yang diberikan akan lebih mendorong generasi muda untuk berkarya.

Dr. Vanitha a/p Thurairasu yang juga merupakan penerima Anugerah Sasterawan Bukan Melayu Negeri Pulau Pinang dan penulis karya kreatif majalah Tunas Cipta turut menzahirkan rasa syukur dan gembira beliau atas penganugerahan tersebut. Kongsi Dr. Vanitha,

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua panel dan JendelaDBP kerana pernah menerima karya saya berjudul ‘Ketika Alam Bertasbih’. Memang julung-julung kali saya menghantar karya adalah di bawah Tunas Cipta. Pada pandangan saya, penulis baharu banyak yang sudah mula menceburi bidang penulisan. Tetapi mungkin bagi bidang kesihatan seperti saya, kurangnya pengetahuan tentang kewujudan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai medium untuk mereka berkarya. Hal ini secara tidak langsung memberi saya rasa tanggungjawab kepada generasi muda di luar sana untuk berkarya dengan harapan agar mereka juga berminat untuk menceburi bidang sastera tempatan.

Sasterawan Negara ke-6, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Sastera Negeri Pulau Pinang 2023.

Seorang lagi penulis muda, Nur Adilla Abdul Rahim, penerima Anugerah Sasterawan Harapan Negeri Pulau Pinang 2023 dan Anugerah Kategori B: Karya Eceran, Cerpen bertajuk “Saudade” dilihat berpotensi melebarkan sayapnya dengan bakat dan keupayaan beliau yang cukup terserlah.

Kehadiran wajah penulis muda dalam Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang 2023, pada kali ini membuktikan bahawa dunia sastera tanah air mempunyai pelapis untuk membawa kesinambungan dunia kepengarangan menerusi karya yang berkualiti dan segar yang memberikan impak yang cukup bermakna kepada dunia sastera tempatan.

Sasterawan Negara ke-6 yang juga merupakan penerima Anugerah Khas Sastera Negeri Pulau Pinang 2023, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, turut menzahirkan harapan beliau terhadap penulis muda pada masa ini yang bakal menerajui sastera tempatan pada masa hadapan. Jelas beliau,

Sama juga diri kita, kita buka diri kita kepada karya besar dunia, kepada pengarang-pengarang besar dunia. Baca biografi hidup mereka. Itu yang saya buat dulu. Saya buka dunia sastera saya. Saya belajar sastera perbandingan dan saya baca karya Sepanyol, baca karya Jepun, baca karya China dan juga karya Eropah. Hasilnya, tulisan saya agak berlainan sedikit. Dalam hal ini, kita boleh ambil akarnya tetapi pucuk dan buahnya berlainan sedikit. Itu yang lebih baik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.