Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) 2023 jelas membuktikan bahawa dunia sastera tanah air masih tidak ketandusan penulis muda apabila Muhammad Afif Zulhusni Azhar atau lebih mesra dipanggil sebagai Afif Zulhusni, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023 bagi Anugerah Kategori B: Karya Eceran, Cerpen, manakala Nur Afrina Abd Aziz, penerima ASNPP 2023 bagi Kategori B: Karya Eceran. Kedua-dua penulis ini merupakan penulis yang karya mereka pernah tersiar dalam majalah Tunas Cipta, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mereka turut berkarya menerusi pelbagai media bercetak dan elektronik yang lain.
Bertempat di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 9 September 2023, ASNPP telah berlangsung dengan jayanya dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.
Cerpen “Ga Alif Ya Wau Nga” nukilan Afif Zulhusni telah dinobatkan sebagai penerima Kategori B: Karya Eceran, Cerpen dan penerima anugerah utama, Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang pada tahun ini. Dengan kejayaan tersebut, Afif Zulhusni berjaya membuktikan bahawa kelahiran karya daripada pengkarya muda menjadi satu penanda aras bagi penulis generasi masa ini.
Afif Zulhusni yang lahir melalui program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP ini turut berkongsi perasaan beliau apabila sumbangannya dalam dunia sastera tempatan telah dipilih oleh panel penilai sebagai Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023. Kongsi beliau,
Alhamdulillah, rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana telah mengurniakan kejayaan kepada saya. Berkat doa ibu bapa dan bantuan guru-guru, rezeki telah hadir kepada saya. Inilah kejayaan yang terbesar dalam dunia penulisan saya apabila dinobatkan sebagai Anugerah Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023. Malah, cerpen eceran saya yang berjudul ‘Ga Alif Ya Wau Nga’ juga telah dipilih sebagai Penerima Anugerah Kategori B.
Penulis yang mendapat pendidikan dari Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam Pulau Pinang dan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan ini telah menghasilkan 12 cerpen, lima esei dan lima puisi sejak tahun 2020. Pelbagai genre yang dihasilkan oleh beliau menunjukkan kesungguhan beliau dalam mengembangkan bakat penulisannya.
Selain itu, Nur Afrina Abd Aziz seorang lagi penerima ASNPP 2023 bagi Kategori B: Karya Eceran, Puisi dengan puisinya yang bertajuk “Firdausi Anak Maghribi” terbitan majalah Tunas Cipta turut memperlihatkan bahawa kelahiran penulis muda Pulau Pinang antara penulis yang bakal menjanjikan masa hadapan sastera tanah air negara yang cerah dan dunia sastera tanah air tidak ketandusan karya yang berkualiti pada masa akan datang.