4 September 2023, 14:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Zaman yang mencabar dengan pelbagai tekanan dan pandangan sinis orang ramai kepada insan yang kurang bernasib baik menjadi inspirasi kepada anak muda untuk menulis sebuah kisah yang dianggap akan mengisi kekosongan itu.

Anies Adlin hadir dengan novel sulungnya, Di Bawah Langit Biru. Novel ini mendapat sambutan menggalakkan apabila menjadi antara novel terlaris dalam rumah penerbitan Manes Wordworks.

Menurut Anies Adlina, pada masa ini, masyarakat bergelut dengan pelbagai isu. Contohnya termasuklah isu tiada keyakinan diri dan masalah dalaman keluarga.

Jelasnya, ketika ditemui sewaktu Festival Buku Merdeka 2023 bertempat di Sunway Putra Mall pada 2 September 2023, Sabtu lalu,

Saya menulis buku ini adalah untuk merealisasikan kefahaman mereka itu dengan yang lain —  masih ada orang seperti mereka mengalami nasib yang sama.

Anies atau nama penanya Broleecomel berkata, novelnya ini mengetengahkan pelbagai perkara, bukan semata-mata kisah percintaan saja, tetapi juga perhubungan antara kawan.

Anies Adlina atau nama penanya Broleecomel mengetengahkan masalah tekanan jiwa melalui novel  Di Bawah Langit Biru.

Dalam pada itu, Anies yang juga baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam menekankan bahawa penghasilan buku ini sangat dekat dengan dirinya.

Ini satu pengalaman yang paling dekat dengan saya ketika menulis buku ini. Malaysia ini ada masalah antara warna kulit (skin shaming). Semasa kecil, saya ini gelap. Kesannya, saya sering diejek. Itulah antara pergelutan heroin dalam buku ini yang saya cuba sampaikan.

Di samping itu, Anies turut berkongsikan pengalamannya dalam dunia penulisan. Kali pertama beliau menulis secara serius ialah di laman Wattpad yang kini telah dapat menarik sebanyak 2 juta orang pembaca.

Novel Di Bawah Langit Biru mengisahkan Mikaeyl Lee yang menghadapi trauma semasa kecil. Emaknya menghadapi kemurungan dan cuba untuk melemaskannya kerana emaknya berfikir apabila dia mahu membunuh diri, dia mahu membawa Mikaeyl sekali bersama-samanya. Namun demikian, Mikael terselamat.

Apabila Mikaeyl membesar, dia berasa bahawa emaknya tidak menyayanginya. Walaupun Mikaeyl dapat merealisasikan impiannya menjadi pensyarah, tetapi dalam hati, masih memikirkan tindakan emak terhadapnya. Hingga dewasa, trauma itu merubah keseluruhan sikapnya yang berasa tidak yakin dengan diri sendiri dan tidak percaya dia boleh disayangi oleh orang lain.

Kawan dan teman wanitanya perlu menghadap rasa kurang percaya Mikaeyl terhadap diri.

Novel setebal 455 halaman ini telah terjual hampir 5 ribu naskhah sejak mula diterbitkan pada tahun lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.