31 Ogos 2023, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sabak Bernam – Program Minggu Penulis Remaja (MPR) dan Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK) telah berlangsung dengan jayanya selama empat hari tiga malam, iaitu bermula pada 27 hingga 30 Ogos 2023.

Pada kali ini, program tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran ini telah diadakan di Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam. Sebanyak  48 orang peserta yang terlibat dalam kedua-dua program tersebut.

Taufik Iman Shah, yang merupakan peserta MPR 2023, telah memilih untuk mempersembahkan puisi hasil nukilan beliau yang bertajuk “Hujan Luruhkan Rindu” sebagai pembuka majlis pada tengah hari itu.

Minggu Penulis Remaja dan Minggu Penulis Kanak-kanak menampilkan pembimbing dalam kalangan penulis mapan.

Siti Noor Hafizzah Zukefly, seorang daripada peserta MPR melahirkan perasaan terujanya kerana dipilih menyertai program ini. Beliau mengucapkan terima kasih kepada DBP kerana telah menganjurkan program yang baginya telah membuka ruang dan peluang kepada penulis muda untuk berkarya dengan lebih giat lagi.

Qaseh Qistina Ameruddin merupakan satu daripada peserta MPR yang pernah menerbitkan karyanya dalam majalah Tunas Cipta.

Mengimbau sejarah, MPR dan MPKK merupakan sebuah program tahunan kelolaan DBP yang telah berlangsung sejak sekian lamanya. Tujuannya adalah untuk membina dan melahirkan generasi penulis muda yang berilmu, berdaya cipta, kritis serta dinamik dalam menghasilkan karya yang kreatif.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis penutup ialah Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP, iaitu Puan Murjana@Norjanah Yusof, Zaen Kasturi dan Lily Haslina, pembimbing MPR 2023 dan Salina Ibrahim, pembimbing MPKK 2023.

Masing-masing pembimbing mengharapkan kesan daripada program seperti ini dapat memberikan impak yang besar bagi penulis muda dalam menghasilkan karya yang bermutu, sekali gus menaikkan kembali dunia sastera tanah air melalui karya yang berkualiti dan mencabar pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.