28 Ogos 2023, 09:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Siapa sahaja dalam kalangan penulis tidak mengenali Okky Madasari dari negara seberang? Beliau antara penulis yang sanggup berhenti kerja kerana ingin menjadi penulis novel sepenuh masa.

Satu bicara santai telah berlangsung bertempat di Petaling Jaya baru-baru ini. Program bual bicara yang melibatkan dua orang penulis wanita itu berlangsung sekitar satu jam, namun pengisiannya sarat dengan perkongsian berkenaan teknik penulisan yang berkesan.

Dengan tajuk “Malam Pujangga: Perempuan dan Anti Korupsi dalam Sastera”, bual bicara tersebut dipandu oleh penulis wanita tanah air yang kian meningkat, iaitu Fazleena Hishamuddin.

Bagai buku bertemu ruas, dua figura ini saling melengkapi berkongsi pengalaman mereka sebagai penulis.

Okky atau nama sebenarnya Okky Puspa Madasari berkongsi pengalaman luar biasanya dalam penulisan novel pertamanya, Entrok yang berjaya mengangkat namanya di persada Nusantara hingga kini. Katanya,

Entrok merupakan novel pertama saya. Saya betul-betul mahu fokus semasa menghasilkan novel ini kerana bagi saya, menulis seperti sebuah pertaruhan. Tempoh yang saya ambil untuk menyiapkannya ialah tiga bulan. Maka itu, saya mengambil keputusan berhenti kerja. Sebelum ini, saya merupakan wartawan sepenuh masa.

“Malam Pujangga: Perempuan dan Anti Korupsi dalam Sastera” merupakan sebuah bual bicara yang dipandu oleh Fazleena Hishamuddin (kiri) bersama-sama Okky Puspa Madasari (kanan).

Keputusan tersebut ditanggapinya sebagai aneh tetapi masih boleh diterima. Okky turut berkongsi reaksi orang tuanya yang mempersoalkan tindakannya yang sudah mempunyai kerja yang stabil dan bagus, tetapi dengan hanya iltizam menulis sebuah novel, beliau sanggup mengambil langkah yang drastik. Jelasnya lagi,

Sama dengan kawan-kawan saya, semua mempersoalkan tindakan itu. Tiada siapa yang akan percaya dengan keputusan tersebut.

Yang lebih mengejutkan ialah ketika Okky menulis novel itu, tidak terlintas langsung dalam benak fikirannya yang novel hasil tulisannya itu akan diterima oleh penerbit, malah beliau sendiri tidak tahu hendak dihantar ke mana manuskrip itu.

Masa itu saya seorang jurnalis. Saya langsung tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana rumah penerbitan. Bahkan, saya tidak mengenali sasterawan besar. Walau bagaimanapun, saat itu saya ingat, paling tidak dalam hidup ini, saya punyai satu buku.

Okky yang baru sahaja menyerahkan tesis ijazah kedoktoran di National University of Singapore (NUS) itu turut berkata, ketika beliau ingin menulis, cabarannya bukan sahaja daripada orang lain yang meragukan kebolehannya, tetapi perasaan itu wujud dalam dirinya sendiri.

Novel Entrok yang mengangkat isu peribadi penulis bersama-sama neneknya.

Penulis Entrok yang merupakan peraih penghargaan Khatulistiwa Literary Award 2012 itu turut berkongsi kisah di sebalik penghasilan karya agungnya.

Kisahnya sangat dekat dengan diri penulis. Ketika beliau masih remaja, neneknya sering bercerita dan mengeluh hal yang sama. Cerita itu diulang-ulang hingga malam sebelum Okky hendak melangsungkan perkahwinan.

Neneknya berjumpa dengannya di dalam bilik bercerita mengenai hal itu lagi. Ketika itulah Okky mendapat satu idea untuk menulis kisah marginal dan sangat menarik itu.

Idea itu hasil daripada bacaan konsistennya terhadap karya sastera dalam tempoh dua tahun. Beliau berkongsi, kisah tersebut sangat menarik kerana entrok itu sendiri melambangkan kekuatan dan pada masa yang sama, entrok merupakan simbol pengekangan.

Jadi yang saya belajar menulis sastera, cerita kita haruslah personal. Menulis sebuah cerita selalunya berangkat daripada sesuatu yang peribadi. Kita tidak akan boleh menulis cerita yang bagus jika cerita kita tidak merepresentasikan seseorang individu.

Penulisan Entrok terjadi kerana peristiwa peribadi Okky dengan neneknya. Neneknya merupakan inspirasinya untuk menulis Entrok. Katanya, watak Marni dalam Entrok itu merupakan representasi neneknya sendiri.

Di sini kita melihat pelbagai persoalan, antaranya termasuklah ekonomi. Hanya untuk memberikan entrok sahaja, kalau kita mempunyai ekonomi yang sulit, maka kita tidak boleh. Kita melihat persoalan keterhubungan perempuan dan sisi keberdayaan.

Novel Entrok telah diterjemahkan  dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Gerak Budaya. Hingga kini, karya tersebut merupakan novel yang pertama untuk mengenali Okky. Sumbangannya melalui karya sastera dan aktivisme dalam masyarakat telah menempatkan Okky sebagai satu daripada penerima Southeast Asia Women of the Future 2019.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.