22 Ogos 2023, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Festival Sastera Kanak-kanak (FSK) kali keenam tahun ini, bakal berlangsung selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Ogos bertempat di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Pengarah Perpustakaan Cawangan dan Komuniti, PNM, Encik Ali Rashid berkata, “FSK merupakan satu daripada elemen yang menyuntik semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat selain daripada memberikan galakan membaca, terutama kepada golongan kanak-kanak dan remaja.”

Tambahnya lagi, fokus PNM melalui anjuran ini bukan sahaja ingin menyasarkan golongan kanak-kanak sebagai sasaran penyertaan, tetapi juga golongan remaja dan dewasa untuk mengikuti festival ini kerana  mempunyai elemen penting dalam ekosistem Kembara Perpaduan Rahmah melalui Kementerian Perpaduan Negara.

Dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam, Encik Ali Rashid mengatakan,

FSK merupakan satu daripada program yang mana PNM akan mendekati komuniti khususnya golongan kanak-kanak untuk meningkatkan budaya membaca selain memupuk nilai perpaduan dalam kalangan mereka.

Festival Sastera Kanak-kanak kali keenam bakal berlangsung pada 23 dan 24 Ogos bertempat di Perpustakaan Negara Malaysia.

FSK akan menghimpunkan pembaca, penulis buku dan ilustrator untuk turut hadir ke perpustakaan bagi berkongsi ilmu kepada kanak-kanak mengenai penulisan, pembacaan dan penceritaan kerana terdapat banyak bengkel yang akan diadakan festival ini berlangsung.

Tambah beliau lagi, perasmian FSK pada kali ini akan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, iaitu YBrs. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim.

Pengarah Perpustakaan Cawangan dan Komuniti, PNM, Encik Ali Rashid ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam.

Pelbagai aktiviti menarik yang bakal diadakan sepanjang Festival Sastera Kanak-kanak 2023 antaranya termasuklah sesi bercerita secara interaktif bersama-sama pencerita daripada Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Bicara Sastera Kanak-kanak di Malaysia, Kuiz Cakna Perpaduan, pameran oleh pelbagai agensi dan pelbagai gerai niaga.

Beliau berharap agar penganjuran FSK akan terus berkembang dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hub sastera kanak-kanak di rantau Asia Tenggara sebagai tanda sokongan terhadap dunia sastera tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.