22 Ogos 2023, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Satu forum bertajuk “Kebebasan Berkarya: Perlukah Kreativiti Disekat?” diadakan di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada Ahad, 20 Julai 2023.

Forum yang berlangsung selama satu jam itu menampilkan Dekan Fakulti Teater ASWARA, Fasyali Fadzly Saipul Bahri sebagai pemudah cara.

Barisan ahli panel pula terdiri daripada pelakon terkenal, Sharifah Amani; Ketua Program Ijazah Sarjana, Pusat Pengajian Pascasiswazah ASWARA, Mohd Kamarulzaman Taib (Che Kem); dan pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Syahrul Fithri Musa.

Dalam forum tersebut, Fasyali memulakan soalan kepada ahli panel dengan pertanyaan, adakah ketiga-tiga ahli panel terlibat dengan sebarang pengharaman atau penyekatan karya yang pernah mereka hasilkan.

Dari kiri: Fasyali Fadzly Saipul Bahri, Sharifah Amani, Che Kem dan Dr. Syahrul Fithri Musa.

Menuru Sharifah Amani, filem lakonannya yang bertajuk Sepet telah dipotong sebanyak tujuh adegan. Kogsi beliau,

Tapi yang pelik, filem Gubra yang provokatif itu tidak ada potongan pula. Sebenarnya saya berasa keliru dengan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Sebabnya garis panduan ada, tetapi kadang-kadang apa-apa yang mereka ikut dan tidak ikut itu yang menghairankan saya.

Sharifah mengimbau kembali apa-apa yang berlaku pada zaman itu ialah Sepet tidak mempunyai masalah yang besar berbanding dengan Gubra. Sebaliknya, Gubra mempunyai adegan pelakon memegang anjing, tetapi adegan itu tidak dipotong oleh LPF.

Di samping itu, Dr. Syahrul turut berkongsi pengalamannya dalam industri teater. Sekitar 2008, beliau menulis sebuah karya yang dianggap kontroversi.

Teater bertajuk “Isteriku Tiada Susu” itu sempat dipentaskan. Walau bagaimanapun, pementasan tersebut menerima respons negatif sehingga menjadikan kontroversi dan saya dipanggil untuk membicarakan karya tersebut.

Pementasan teater tersebut diadakan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan menurut Syahrul, beliau memang berniat sedikit “nakal” untuk memprovokasi institusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika itu disebabkan jiwanya yang muda pada masa itu.

Walau bagaimanapun, beliau tetap mempersoalkan, adakah sekadar tajuk sebegitu pementasan tersebut disekat dan dihujani dengan pelbagai tohmahan oleh pemain industri?

Walaupun kejadian tersebut melibatkan institusi bahasa yang terbesar di negara ini, tetapi beliau tidak menyalahkan DBP kerana beliau faham DBP cuma mengawal beberapa hal supaya tidak menjadi lebih bermasalah.

Syahrul turut berkongsi pengalaman manisnya bersama dengan DBP ketika pementasan teater tersebut kerana ada watak yang menginginkan pementasan tersebut dipentaskan juga. Syahrul berkata bahawa,

Sebenarnya dari awal lagi saya mendapat bantahan daripada DBP. Namun demikian, A. Wahab Hamzah menjadi hero ketika itu. Beliau yang merupakan karyawan DBP dan pada masa yang sama, pengarah projek pementasan teater tersebut. Apabila beliau mempertahankan pementasan itu, saya berasa tajuk tersebut tidak menimbulkan masalah. Hal ini dikatakan demikian kerana Wahab mempunyai pendirian beliau dan dia memberikan perspektif yang sangat baik kepada saya.

Berbeza daripada Che Kem, beliau berkongsi pengalamannya ketika berkhidmat sebagai pegawai kebudayaan di Panggung Negara (kini dikenali sebagai Istana Budaya) dan pada masa yang sama beliau ialah pemain teater.

Moderator dan ahli panel bergambar kenangan.

Beliau yang popular dengan watak Tunku Abdul Rahman dalam filem 1957: Hati Malaya itu berkata, dirinya berada dalam dilema untuk berada di posisi mana ketika ada hal-hal yang sensitif perlu dipersembahkan di atas pentas.

Jelas beliau lagi, kesusahan yang berlaku olehnya pada masa itu menjadikannya lebih berpijak di bumi nyata apabila perlu membuat keputusan yang sukar antara posisi seniman dengan juga pentadbir.

Dalam pada itu, Fasyali dan Syahrul mengalami dilema yang sama apabila berada dalam bidang akademik. Mereka berdua berpendapat bahawa apa-apa teater yang berkemungkinan besar mendatangkan provokasi dan melawan arus, boleh dipentaskan dengan syarat terater tersebut dipentaskan secara tertutup, dengan bertujuan untuk pembelajaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.