Diterbitkan pada 18 Ogos 2023, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perak – Sebanyak 53 orang murid tahap dua Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kenas telah menyertai bengkel penulisan sajak, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama SK Ulu Kenas bertempat di Sekolah Kebangsaan Ulu Kenas, Manong, Perak.

Bengkel penulisan sajak ini telah disampaikan oleh penulis, guru dan pemuisi tempatan, iaitu Puan Shakiera atau lebih mesra dikenali sebagai Shasha Shakiera.

Beliau telah berkecimpung dalam bidang sastera seawal usia 15 tahun. Sepanjang pelibatan dalam bidang ini, beliau pernah memenangi Pertandingan Menulis Sajak Alam Sekitar yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar pada tahun 1999.

Shasha Shakiera memberikan pencerahan berkaitan dengan cara menulis sajak melalui teknik yang betul.

Timbalan Pengarah DBPWU, iaitu Puan Khairul Anum Mohd Ali berharap agar bengkel yang diuruskan atas usaha dan keringat guru-guru ini dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan murid.

Pelajar SK Ulu Kenas mendengar dengan teliti segala inti pati yang disampaikan oleh Shasha Shakiera.

Sepanjang Bengkel Penulisan sajak ini berlangsung, Shasha Shakiera turut menekankan agar murid-murid di SK Ulu Kenas berani menceburi bidang baharu dalam sastera tanah air, antaranya termasuklah penulisan sajak, cerpen, novel dan  teknik mendeklamasi sajak mengikut cara yang betul.

Bengkel penulisan ini memberikan kesan positif kepada murid SK Ulu Kenas dalam teknik penulisan kreatif, sekali gus meningkatkan minat generasi muda dalam menceburi bidang kesusasteraan yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi