7 Ogos 2023, 20:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pementasan bil berganda atau double bill bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Namun demikian, persembahan bil berganda oleh sekumpulan anak muda daripada Program Pengajian Asasi Seni Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menawarkan pengalaman penontonan yang unik dan berbeza.

Pementasan yang berlangsung di Panggung Eksperimen ASWARA pada 4 dan 5 Ogos 2023 ini merupakan kesepaduan seni kreatif serta potensi bakat pelajar praijazah Sarjana Muda yang diterjemahkan dalam wahana produksi pementasan sebenar. Prosamania Bil Beganda 2023 – Veru Senja merupakan judul yang dipilih umtuk memayungi dua cerita yang mengangkat latar seni, budaya dan warisan.

Sebaik sahaja duduk di kerusi penonton, dapat diperhatikan dua buah gerbang minimalis berwarna putih pada bahagian hadapan kiri dan kanan pentas. Dua buah gerbang yang mewakili bil berganda ini berfungsi sebagai titik keluar-masuk pelakon dan ensemble persembahan sekali gus membawa penonton untuk “masuk” dalam cerita yang dipersembahkan.

Antara babak dalam  persembahan Prosamania Bil Beganda 2023 – Veru Senja. 

Kisah pertama berjudul Isim memaparkan trauma seorang ibu terhadap keghairahan anaknya yang berdegil untuk terus bergiat aktif dengan seni tarian kuda kepang setelah tragedi yang menimpa si ayah. Istilah isim dalam ritual persembahan tarian kuda kepang sering dikaitkan dengan semangat dalam badan penari kuda kepang yang ghairah untuk memiliki kelebihan kuasa dalaman, kuasa tenaga dan kuasa unik. Sekiranya tidak dikawal dengan kewarasan, musibah akan melanda si empunya tubuh.

Isim tulisan bersama-sama Nani M. M. dan Madini Rengganis telah diterjemahkan dengan baik melalui pengarahan Hazzy dan Eunous Madeonus yang menyulam elemen dramatik dengan koreografi ciptaan baharu tanpa mengabaikan ciri-ciri tradisi tarian kuda kepang.

Babak menyayat hati dalam Vera Senja Suri yang menarik hati penonton.

Kisah kedua berjudul Suri tulisan Siti Dharma dan mendapat sentuhan pengarahan Eunous Madeonus. Suri mengisahkan perlawanan seorang isteri bernama Suri terhadap penguasa zalim yang menjatuhkan hukuman mati kepadanya tanpa usul periksa.

Suri  merupakan naratif baharu kisah legenda terkenal dari Pulau Langkawi; Mahsuri. Suri dengan jelas mempamerkan pertentangan dan pemerkasaan wanita. Watak Mawar, seorang pengawal yang sanggup membela Suri yang teraniaya merupakan satu sisi menarik dalam pengisahan semula kisah legenda ini.

Tidak dinafikan bahawa kedua-dua kisah yang dihidangkan merupakan drama yang sarat dengan konflik dan ketegangan. Namun demikian, penonton dibawa untuk meredakan tekanan menerusi selingan segmen bakat nyanyian dilatari kombinasi muzik moden dan tradisional. Segmen rampaian tari turut mencuri tumpuan apabila mempamerkan kepelbagaian etnik di Malaysia dengan koreografi ciptaan baharu.

Ternyata kumpulan anak muda yang menukangi produksi Prosamania Bil Beganda 2023 – Veru Senja tidak mensia-siakan peluang yang diberikan. Tepukan gemuruh serta respons daripada penonton sepanjang penontonan memberikan isyarat bahawa apa-apa yang disajikan mereka memberikan kesan dan menghiburkan.

Kolaborasi bakat seni pelajar ini memberikan petanda baik tentang kesediaan generasi baharu untuk memberikan nafas baharu terhadap elemen seni, budaya dan warisan tempatan dalam penghasilan pelbagai karya seni kreatif.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.