Oleh Putraery Ussin
31 Julai 2023, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Penyertaan golongan muda, terutama dalam kalangan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi yang menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-37 peringkat negeri Kedah pada tahun ini sangat menggalakkan.

Hal ini dikatakan demikian kerana, penyertaan sebanyak 19 orang peserta akhir SDPK peringkat negeri Kedah, hanya empat orang peserta sahaja yang berusia lebih 40 tahun,  selebihnya disertai oleh peserta muda.

Menurut juara SDPK pada kali ini, Fitrah Adilah Abdul Rahman (30 tahun) mengatakan bahawa sayembara ini bersesuaian dengan golongan muda yang menggunakan media sosial sebagai alat komunikasi utama pada masa ini.

Beliau yang juga ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) pada tahun 2021 berasa gembira dengan kesungguhan ASASI yang sentiasa menyalurkan maklumat berkenaan dengan aktiviti kesusasteraan di negeri Kedah melalui pelantar media sosial.

SDPK ke-37 peringkat negeri Kedah yang berlangsung di Digital Library Kedah pada 29 Julai 2023 telah melabuhkan tirainya dengan menobatkan Fitrah Adilah Abdul Rahman sebagai juara, selepas berjaya merangkul tempat kedua di belakang juara tiga kali negeri Kedah iaitu Zaheera Ibrahim, tahun lalu.

Barisan pendeklamasi muda yang berjaya merangkul hadiah utama dan sagu hati dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-37 peringkat negeri Kedah tahun ini.

Bagi pemenang tempat ketiga, pelajar Institut Pendidikan Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) yang berasal dari Sik, iaitu Muhammad Afif Ikhwan (19 tahun) pula berpendapat bahawa percubaan pertamanya ini berbaloi dan  berharap lebih banyak acara sebegini diadakan kerana mereka sebagai generasi muda boleh menyertainya. Sayembara ini selain membolehkan peserta bergaul dengan komuniti sastera tanah air.

Wajah yang mendominasi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-37 peringkat negeri Kedah.

Penuntut Universiti Malaysia Kelantan, Nurul Umairah Muhamad Fauzi (19 tahun) pula menganggap bahawa hadiah sagu hati yang dirangkul olehnya dalam percubaan kali pertama ini sebagai rezeki, serta memberikan motivasi kepada dirinya untuk terus aktif dalam dunia deklamasi dan sastera serta berharap peserta dari Kedah akan terus menonjol pada peringkat kebangsaan, seterusnya muncul sebagai juara.

Bagi Mohd Ridzuan Sarkun (51 tahun) yang mendapat tempat kedua mengakui bahawa persaingan pada tahun ini sangat sengit, terutama daripada orang muda. Beliau yang sudah 13 tahun menyepi daripada dunia deklamasi, bersyukur kerana ASASI kini sangat aktif mempromosikan sastera di negeri Kedah dengan pelbagai aktiviti antaranya seperti baca sajak.

Berikut merupakan keputusan penuh SDPK ke-37 Peringkat Negeri Kedah:

Johan

  • Fitrah Adilah Abdul Rahman

Naib Johan

  • Mohd Ridzuan Sarkun

Tempat Ketiga

  • Muhammad Afif Ikhwan

Sagu hati

  • Nurul Umairah Mohamad Fauzi
  • Mohd Aidil Firdaus Mohd Sok
  • Mohd Faizal Mehat

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.