Diterbitkan pada 3 Julai 2023, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Miri – Baru-baru ini, Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS), Miri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah berjaya mengadakan Bengkel Perolehan Manuskrip Cerita Kanak-kanak bertempat di Dewan Ilmu, IPGKS, Miri.

Bengkel yang dilaksanakan selama dua hari ini disertai oleh sebanyak 155 orang guru pelatih tahun 1 dari Jabatan Pengajian Bahasa Melayu yang begitu bersemangat dan teruja untuk menerokai dunia penulisan karya kreatif.

Di samping bertujuan untuk mendedahkan kepentingan penguasaan seni bahasa bagi bakal guru, antara objektif utama bengkel ini adalah menggalakkan dan mengasah bakat penulisan karya kreatif dalam kalangan guru-guru pelatih di IPGKS, Miri.

Sehubungan dengan itu, pembimbing yang dilantik untuk membimbing bengkel ini merupakan seorang penulis mapan yang berpengalaman luas dan banyak menyumbang karya hebat dalam bidang penulisan karya kreatif, iaitu Encik Abang Median Abang Said.

Abang Median Abang Said sedang memberikan bimbingan kepada peserta.
Foto: Abang Median Abang Said

Sebagai mukadimah sesi bimbingan, beliau memetik mutiara kata daripada Imam Al-Ghazali yang mengatakan, “Kalau kamu bukan anak raja dan bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis”.

Secara tidak langsung, mutiara kata tersebut menyuntik semangat dan merangsang minat peserta untuk mula bertatih-tatih dalam dunia penulisan karya kreatif. Rata-rata peserta berpuas hati dengan sesi bimbingan yang disampaikan dengan penuh bersemangat, menyeronokkan dan padat dengan ilmu pengetahuan baharu yang sememangnya amat menarik untuk dipelajari.

Selain itu, taklimat umum penerbitan DBP turut disampaikan kepada peserta oleh Puan Dorensia Dyonie Dominic dari DBP Cawangan Sarawak sebagai pendedahan kepada fungsi umum Jabatan Penerbitan DBP di samping menguar-uarkan tentang peluang penerbitan dan penyiaran karya dalam ruang penerbitan berkala kelolaan DBP Cawangan Sarawak.

Dorensia Dyonie Dominic menyampaikan taklimat umum penerbitan.
Foto: Heritos Muling

Ketua Jabatan Pengajian Melayu, IPGKS, Miri, YBrs. Dr. Magdeline Nor dalam ucapan penutupannya meluahkan rasa bertuah kerana pelajarnya diberi peluang untuk mengikuti sesi bimbingan daripada Encik Abang Median Abang Said malah lebih beruntung kerana turut berkesempatan berjumpa dengan penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang ke-5, iaitu Encik Zainal Abidin Suhaili atau lebih dikenali sebagai Abizai yang sudi meluangkan masa datang ke bengkel tersebut.

Abizai menyampaikan kata-kata semangat kepada peserta.
Foto: Dorensia Dyonie Dominic

Abizai turut dijemput untuk menyampaikan kata-kata semangat kepada peserta bengkel. Beliau amat menggalakkan peserta untuk menceburi dunia kesusasteraan dan menghantar karya ke DBP atau ruang penerbitan berkala yang dikendalikan oleh DBP Cawangan Sarawak.

Dr. Magdeline Nor menyampaikan ucapan penutupan bengkel.
Foto: Dorensia Dyonie Dominic
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi