26 Jun 2023, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendang – Sebanyak 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dan 4 dari seluruh negeri Kedah telah terpilih untuk menyertai Kem Daei Pena Muda Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Kedah yang bertempat di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah, Pendang pada 25 Jun 2023.

Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Sanusi Din atau lebih mesra dikenali sebagai Ibnu Din Assingkiri telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau tentang penulisan cerpen kepada peserta. Kongsinya,

Untuk menulis sebuah cerpen, minat dan bakat perlu dipupuk dalam diri individu. Sebuah cerpen yang baik adalah hasil daripada pemahaman seorang penulis agar penghasilan cerpen itu menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh seorang editor.

Satu daripada penerima 10 cerpen terbaik dalam Kem Daei Pena Muda yang diadakan di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah, Pendang pada 25 Jun 2023.

Bagi penulis pemula, mereka seharusnya meluaskan pembacaan melalui karya daripada penulis tempatan, yang akhirnya dapat mengasah kemahiran penulisan mereka. Tambahnya lagi,

Banyak penulis muda yang menghantar karya cerpen mereka untuk disiarkan dalam akhbar dan juga majalah. Bagi pelajar sekolah menengah, Dewan Bahasa dan Pustaka ada menerbitkan majalah yang bersesuaian sebagai pelantar penghantaran karya kreatif penulis pemula, antaranya seperti Tunas Cipta dan Dewan Siswa.

Peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dan 4 sedang tekun mendengar perkongsian daripada Ibnu Din Assingkiri.

Objektif utama program ini adalah untuk membimbing Daei Pena Muda yang akan mewakili Negeri Kedah Darul Aman dalam pertandingan menulis cerpen pada peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kelantan pada tahun ini juga.

Majlis Perasmian Kem Daei Pena Muda telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, iaitu Ustaz Nadzhari Mahmud.

Di akhir program ini, sebanyak 10 orang peserta telah berjaya menghasilkan sebuah cerpen, dan karya terbaik dipilih untuk mewakili Kedah pada peringkat kebangsaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.