Oleh Malique
24 Jun 2023, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Gajah – Pada 22 Jun 2023 telah berlangsung Majlis Penyampaian Anugerah Sayembara Penulisan Sajak Masyarakat Madani 2023 yang bertemakan “Membangun Masyarakat Madani”, bertempat di ruang Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.

Penganjur utama majlis ini ialah Jabatan Undang-undang dan Kelab MeDIA, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama rakan strategik, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Kelab Akademik Mesra Intelek (KAMI) UiTM Cawangan Melaka serta AID Academy.

Untuk sayembara ini, pihak penganjur telah menerima hampir 100 penyertaan dari seluruh tanah air yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya dan bangsa yang menukang aksara berkaitan dengan masyarakat madani celik undang-undang/literasi perundangan, kemanusiaan/modal insan dan kesukarelawanan.

Pemenang Kategori A bergambar kenangan bersama dengan tetamu kehormat.

Sesungguhnya, penganjuran sayembara sebegini menunjukkan bahawa sastera, seni dan budaya itu bersifat universal dan hak milik semua insan tanpa sebarang jurang pemisah.

Tempoh penghantaran hasil karya peserta telah dilaksanakan secara dalam talian talian, iaitu bermula dari 18 April hingga 22 Mei 2023. Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia menerusi dua kategori, iaitu Kategori A: Pelajar (Sekolah Menengah/Matrikulasi/Kolej/IPT) dan Kategori B: Umum (Terbuka).

Secara dasarnya, ini merupakan platform untuk percambahan pengetahuan dan kesedaran yang bertujuan untuk menyerlahkan bakat individu dalam bidang penulisan kreatif; khususnya dalam bidang penulisan sajak berdasarkan tema yang telah ditetapkan oleh penganjur.

Penganjuran sayembara ini merupakan inisiatif serampang dua mata yang terzahir daripada pihak penganjur dalam usaha ke arah membentuk pemikiran yang positif dan dinamik peserta secara keseluruhan menerusi percambahan idea dalam kalangan peserta untuk memartabatkan bidang sastera, budaya dan seni kreatif agar terus malar segar.

Pemenang bergambar kenangan.

Di samping itu, sayembara ini adalah inisiatif daripada pihak Jabatan Undang-undang dan Kelab MeDIA, Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Melaka; bersama-sama pihak yang terlibat ke arah mencapai Petunjuk Prestasi (PI) universiti dan agensi yang berkaitan menerusi jalinan kerjasama yang pintar lagi strategik.

Lebih menarik lagi, penganjuran majlis penganugerahan sayembara ini turut berkongsi tarikh yang sama dengan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-67 DBP.

Majlis penganugerahan ini diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh barisan pemenang. Antaranya adalah persembahan daripada Cikgu Mohd Rosli Bakir (“Mencorak Bangsa Berwajah dan Bermaruah”), Encik Noor Izam Samin (“Jika Aku Menulis”) dan Cikgu Rohana Karno (“Mendaki Tangga Madani”).

Suasana hening majlis turut dihangatkan lagi dengan persembahan bacaan “puiter” (puisi teater) secara berduet dengan Cik Miey GM bertajuk “Iqrak Pabila Pintu Langit Mulai Terbuka” yang cukup memukau halwa telinga hadirin.

Selain itu, persembahan deklamasi sajak turut dimeriahkan lagi oleh Encik Indra Jokina, penerima Pemenang Hadiah Sastera Sabah kategori puisi Dalam Mimpi Yang Bermimpi 2020/2021 & Johan Sayembara Penulisan Menara 2022 yang telah dilantik sebagai satu daripada panel juri sayembara tersebut dengan sajak yang bertajuk “Pom Para Pom Prak Kutilang Mesikui”.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, PTAR yang mewakili YBhg. Rektor UiTM Cawangan Melaka, iaitu Encik Norhazlan Nordin,. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah DBPWS yang mewakili pengarahnya, iaitu Puan Azura Mohd. Halid, Koordinator Jabatan Undang-undang selaku pengarah projek, Encik Mohd Ab Malek Md Shah, rakan kerjasama strategik yang terlibat, penerima anugerah, barisan juri sayembara, tetamu jemputan serta ahli jawatankuasa (staf dan pelajar) yang terlibat.

Menurut Encik Malek, idea penganjuran sayembara ini merupakan satu daripada usaha untuk menzahirkan rasa cakna dan keprihatinan terhadap lapangan seni, sastera dan budaya yang merupakan legasi negara bangsa yang cukup berharga.

Sejajar dengan itu, saya bercadang untuk menganjurkan sayembara tersebut dalam skala wadah yang lebih besar dan meluas kelak menerusi kerjasama dengan persatuan penulis yang bernaung di bawah GAPENA; selain turut berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi pintar dengan institusi pengajian tinggi awam/swasta serta agensi lain yang turut berminat.

Selain itu, pihak penganjur mempunyai perancangan untuk menerbitkan karya peserta dalam bentuk digital. Ini merupakan hadiah dan tanda penghargaan terhadap peserta yang telah menyertai sayembara tersebut selain daripada penulis tamu yang turut diundang untuk turut sama menukang aksara dalam penerbitan tersebut.

Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dalam usaha ke arah memperkasakan satu nilai tambah yang cukup berguna kepada semua dan dapat diteruskan momentumnya pada masa-masa akan datang agar seni sastera dan budaya terus bersemarak dalam memperkasakan legasi khazanah negara bangsa menerusi jalinan kerjasama pintar lagi strategik antara semua pihak terlibat demi manfaat bersama secara tuntas.

Pemenang bergambar kenangan.

Berikut ialah senarai pemenang dan tajuk sajak Sayembara Penulisan Sajak Masyarakat Madani 2023

Kategori A: Pelajar (Sekolah Menengah/Matrikulasi/Kolej/ IPT)

Pertama: Muhammad Naim Omar (“Memorabilia Dunia”)

Kedua: Aimie Rifhan Hashim (“Merpati Putih”)

Ketiga: Muhammad Amirul Aiman Ahmad Yusoff (“Haruman ‘Madani’”)

Sagu hati: Ziedan Naqeeb (“Identiti Negaraku”)

Sagu hati: Chang Teck Choon (“Masyarakat Madani”)

Sagu hati: Nur Airin Ryanna Abdullah (“Masyarakat Madani Hidup Berjiran”)

Kategori B: Umum (Terbuka)

Pertama: Ainun Nasibah Johar (“Langkah Kita Bangsa Maju”)

Kedua: Ku Manis Ku Ismail (“Mahabbah dalam Cinta Madani”)

Ketiga: Mohd Rosli Bakir (“Mencorak Bangsa Berwajah dan Bermaruah”)

Sagu hati: Rohana Karno (“Mendaki Tangga Madani”)

Sagu hati: Noor Izam Samin (“Menjulang Masyarakat Madani”)

Sagu hati: Pui Tiong Gee@Awang Bin Abdullah (“Bahtera Madani”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.