Oleh Nubailah Nasri
23 Jun 2023, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kedah – Pada 20 hingga 22 Jun 2023, sebanyak 60 orang pelajar dari negeri Kedah dan Perlis telah mengikuti Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Program ini telah memberikan pendedahan kepada pelajar berkenaan dengan teknik penulisan karya kreatif. Penulis, Muhammad Nur Saiful Ghazali diundang untuk memberikan bimbingan perihal teknik menulis puisi serta melakukan aktiviti membedah karya pelajar yang mengikuti program tersebut.

Pembimbing yang terlibat dalam Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja di Kedah.

Pelajar begitu seronok apabila karya mereka diulas oleh penceramah. Menariknya, slot bedah karya ini membolehkan pelajar mengetahui kekuatan dan kelemahan karya mereka.

Untuk slot penulisan cerpen pula telah dibimbing oleh penulis, Mohd Haniff Mohammad Yusoff yang menerangkan dengan lebih terperinci tentang teknik penulisan cerpen.

Sewaktu sesi tersebut, beliau meminta pelajar menghasilkan cerpen bertajuk “Aku sepasang kasut”. Kemudian, cerpen yang dihasilkan itu akan dibentangkan pada malam apresiasi mengikut kumpulan masing-masing.

Objektif utama program ini adalah untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang penulisan. Selain itu, program ini juga membantu pelajar untuk berani tampil ke hadapan apabila mereka diberi peluang untuk menonjolkan bakat mereka.

Selain itu, program ini turut diselitkan dengan slot bersama editor majalah Dewan Sastera, iaitu Fadhli al-Akiti dan editor JendelaDBP,  iaitu Sayuti Mohd Yusob. Melalui slot ini, kedua-dua editor berkongsi kaedah penghantaran karya untuk diterbitkan dalam majalah terbitan DBP dan JendelaDBP.

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah Perancang Bahasa dari DBPWU, iaitu  E Pian Pro Poul dan Pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ahmad Shahir Haji Abdullah dan Puan Jamkhuriyati Hussain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.