16 Jun 2023, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Encik Norfazrie Isquandy Nurol

Bintulu – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) ke-45, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-67 dan 60 Tahun Sarawak Merdeka, DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama BDA telah menganjurkan Pertandingan Deklamasi Puisi Sekolah Menengah 2023 bertempat di Auditorium Perpustakaan Bintulu pada 15 Jun 2023.

Pertandingan Deklamasi Puisi ini terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu “Deklamasi Sajak” dan “Dendangan Syair”. Untuk kategori sajak, sebanyak 10 orang peserta telah mengambil bahagian, manakala kategori syair pula melibatkan sembilan orang peserta yang terdiri dalam kalangan pelajar tingkatan 3 hingga tingkatan 5 di Bahagian Bintulu.

Panel hakim Pertandingan Deklamasi Puisi terdiri daripada Encik Mohamad Faizal Jamil (tengah) selaku Ketua Hakim, Encik Shamsul Idzam Jamil (kanan) dan Puan Rosani Hiplee (kiri).

Objektif penganjuran Pertandingan Deklamasi Puisi ini adalah untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang deklamasi sajak dan syair, sekali gus memupuk minat serta rasa cinta pelajar terhadap bahasa dan sastera Melayu, selain menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar dalam bidang deklamasi puisi.

Pertandingan Deklamasi Puisi ini merupakan satu daripada 31 kegiatan yang dilaksanakan dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak yang berfungsi untuk menyebarkan peranan DBP dalam mengembangkan bahasa Melayu yang betul melalui seni penyampaian puisi.

Antara sajak yang dideklamasikan oleh peserta termasuklah “Alam Telah Betul” dan “Harga Sejarah”, karya Rahman Shaari; “Suara dari Pusara”, karya Usman Awang; “Bahasa Kita”, karya Zainal Abidin Hj. Suhaili (Abizai); “Ingatan adalah Musuhmu yang Setia”, karya Latiff Mohidin dan “Mencintai Tanah Ini”, karya Lim Swee Tin.

Antara syair yang didendangkan menerusi pertandingan tersebut termasuklah “Syair Bidasari”, “Syair Nasihat Penghujung Thamarat al-Muhimmah”, “Syair Wasiat” dan “Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman”.

Pengunjung dan peserta pertandingan tidak melepaskan peluang mengunjungi gerai jualan buku DBP.

Menurut Encik Mohamad Faizal Jamil, antara perkara yang diambil kira dalam penghakiman ialah penghayatan, bahasa tubuh, kelancaran dan sebutan.

Selain beliau, panel hakim lain yang terlibat ialah Encik Shamsul Idzam Jamil dan Puan Rosani Hiplee. Panel hakim berpendapat bahawa kesemua peserta memiliki vokal yang amat menarik, selain penyampaian puisi dilakukan dengan cara yang tersendiri.

Pemenang untuk Pertandingan Deklamasi Puisi akan memenangi wang tunai, buku terbitan DBP, plak sumbangan BDA dan watikah pengiktirafan yang akan disampaikan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), YBhg. Datu Muhamad Yakup Kari dalam Majlis Penangguhan Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak pada 17 Jun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.