15 Jun 2023, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Tinggi – Kumpulan Lantera Daksina yang mewakili daerah Batu Pahat berjaya meraih johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara anjuran Jabatan Penerangan dengan memenangi pingat emas, wang tunai bernilai RM2000 serta sijil penghargaan.

Kemenangan ini membolehkan Lantera Daksina membawa nama Johor Darul Ta’zim untuk pertandingan peringkat kebangsaan, pada bulan Oktober nanti. Pertandingan yang berlangsung pada 14 Jun 2023 di SMKA Bandar Penawar, Kota Tinggi disertai oleh sembilan kumpulan.

Pertandingan yang berkonsepkan seni lakon yang mengadaptasi lima prinsip Rukun Negara sebagai elemen utama dalam persembahan adalah bermatlamat untuk meningkatkan semangat patriotik, perpaduan, bersatu padu dan kerjasama berpasukan dalam kalangan pelajar berbilang kaum.

Tujuan utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk memberikan penghayatan dalam meningkatkan kefahaman prinsip Rukun Negara terhadap golongan pelajar bagi melahirkan remaja yang mempunyai jati diri yang hebat selain membentuk minda masyarakat agar cinta akan negara.

Norlizah Noh, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor.

Program ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, iaitu Puan Norlizah Noh, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan rasa bangga dan gembira terhadap penganjuran yang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar. Menurutnya,

Prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara adalah kunci keharmonian dan perpaduan kaum selaras dengan konsep Malaysia Madani. 

Di samping itu, beliau menaruh harapan yang tinggi agar pertandingan seumpama ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun agar semangat perpaduan terus tersemai dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.