14 Jun 2023, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bintulu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah mengadakan Program Bimbingan Penulisan Kreatif pada 13 Jun 2023, bertempat di Perpustakaan Awam, BDA untuk guru di sekitar Bahagian Bintulu yang merangkumi Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Tatau/Sebauh dan Belaga.

Program ini merupakan satu daripada pengisian Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak bersempena dengan Ulang Tahun BDA ke-45, DBP ke-67 dan 60 Tahun Sarawak Merdeka.

Penganjuran ini adalah bertujuan untuk memupuk minat dan bakat guru serta memperkasakan pemahaman dan teknik penulisan yang baik, di samping menjadi ilmu tambah dalam kalangan mereka untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa dan sastera.

Selain itu, program ini menjadi ruang dan medan perkongsian idea, teknik dan kaedah penulisan yang baik dalam kalangan peserta.

Encik Ja’afar Haji Hamdan berkongsi tentang penulisan esei kritikan.
Jurufoto: Encik Norfazrie Isquandy Nurol.

Program selama sehari ini menampilkan dua orang Munsyi Dewan (Sastera) sebagai pembimbing, iaitu Encik Ja’afar Haji Hamdan dan Encik Mohamad Faizal Jamil.

Semasa sesi bimbingan itu, peserta diberikan bimbingan secara teori untuk membantu mereka memahami asas dan teknik penulisan esei kritikan, sajak dan cerpen.

Peserta bertanyakan soalan kepada pembimbing.
Jurufoto: Encik Norfazrie Isquandy Nurol.

Selain itu, pembimbing turut memberikan galakan kepada peserta agar menghasilkan karya yang mengangkat isu relevan dengan keadaan semasa dalam dunia pendidikan dan menekankan falsafah pemikiran yang bermanfaat kepada pembaca.

Pada akhir sesi, Encik Mohamad Faizal Jamil turut berkongsi tentang penciptaan lagu puisi yang boleh dihasilkan daripada sajak. Pada masa yang sama, beliau turut menghiburkan peserta dengan mendendangkan sebuah lagu puisi ciptaannya sendiri yang berjudul Mas Kahwin Cinta.

Sebelum menutup sesi bimbingan, beliau memetik mutiara kata daripada Benjamin Franklin, “Jika anda tidak menulis sesuatu yang baik, perbuatkanlah sesuatu yang baik untuk ditulis.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.