14 Jun 2023, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kulai – Menyedari akan kepentingan dunia penulisan masih memerlukan pelapis baharu dalam pembangunan bakat baharu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) telah melaksanakan Kem Penulis Muda Johor pada 12 dan 13 Jun 2023 di kampus KYPJ.

Hafiz Latiff dan Mokhtar Omar telah memberikan bimbingan penulisan kepada 23 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai bakat dan minat untuk menjadi penulis muda.

Mokhtar Omar sebagai pembimbing.

Fokus utama kem ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang kaedah penulisan karya kreatif dan bukan kreatif, selain menyebarluaskan kandungan persuratan Melayu dalam medium konvensional dan digital selaras dengan perkembangan semasa dan permintaan masyarakat.

Di samping itu, peserta juga didedahkan dengan kepelbagaian medium penerbitan yang bersesuaian mengikut tema penulisan.

Sepanjang kem dilaksanakan peserta telah berjaya menghasilkan karya spontan, terutama dalam penulisan berita dan anekdot. Hasil karya peserta akan dicalonkan dalam Pertandingan Menulis Berita dan Sayembara Menulis Anekdot bagi memberikan galakan kepada peserta kem untuk terus menulis dengan menerima ganjaran hadiah wang tunai.

Selain membimbing peserta dengan kaedah penulisan yang betul dan tepat, mereka juga didedahkan dengan kepentingan dan ganjaran honorarium dan royalti yang boleh diperoleh melalui hasil penulisan. Hal ini memberikan suntikan semangat kepada mereka  untuk menulis secara konsisten.

Pengkarya pemula juga disarankan memberanikan diri untuk menghantar karya mereka ke beberapa pertandingan anjuran kerajaan negeri atau pada peringkat kebangsaan untuk mengukur kekuatan karya mereka.

Hal ini juga menjadi langkah awal untuk membina nama sebagai penulis dalam khalayak masyarakat pembaca. Semoga negeri Johor mampu melahirkan “Usman Awang” dan “Aminah Mokhtar” yang seterusnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.