12 Jun 2023, 11:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Tamil Arasi Saminathan

Lenggong – “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Peribahasa yang sering kali didengar dalam memastikan generasi muda diasah bakat mereka sejak dari awal lagi. Maka itu, atas kesedaran untuk melahirkan lebih banyak penulis dalam kalangan pelajar sekolah khususnya, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Komuniti Lenggong, Perak telah mengadakan Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja Peringkat Komuniti Lenggong pada 10 hingga 11 Jun 2023, bertempat di rumah Wakaf Che Teh Fatimah Kampung Sira, Lenggong, Perak.

Penyertaan sebanyak 30 orang peserta ini terdiri dari pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong (STARUle), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Lenggong.

Antara aktiviti yang dilakukan bersama-sama peserta.

Program ini memberikan pendedahan kepada peserta berkenaan dengan penulisan karya kreatif dan informatif. Selain peserta diberikan penerangan, pembimbing turut menyelitkan beberapa aktiviti untuk dilakukan secara kumpulan. Antaranya seperti membedah artikel dan merangka struktur cerpen.

Aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan ini secara tidak langsung memberikan lebih kefahaman kepada pelajar tentang apa-apa yang disampaikan oleh pembimbing, selain membuka ruang kepada peserta membina hubungan silaturahim dengan pelajar dari sekolah lain.

Selain itu, peserta turut diberikan pendedahan tentang cara penghantaran karya untuk terbitan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sesi Taklimat oleh editor Tunas Cipta, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil di rumah Wakaf Che Teh Fatimah Kampung Sira, Lenggong, Perak.

Kesimpulannya, program Pembinaan Bakat Tunas Remaja Peringkat Komuniti Lenggong, Perak ini sangat menarik kerana peserta dapat menambahkan ilmu bahasa dan penulisan, selain dapat mencungkil bakat pelajar yang bercita-cita menjadi penulis pada masa yang akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.