4 Jun 2023, 14:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Cerpen Kanak-kanak anjuran Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) telah berlangsung pada 3 Jun 2023 bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dalam ucapan alu-aluannya berkata, penganjuran sayembara itu diadakan untuk mencungkil bakat yang ada dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia serta memberikan peluang memindahkan pemikiran mereka dalam bentuk penulisan menurut terjemahan mereka sendiri.

Kongsinya,

Majlis pada hari ini adalah bertujuan untuk mencorakkan potensi pelapis masa hadapan negara dalam bidang penulisan dan industri pembukuan negara.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus semasa menyampaikan ucapan aluan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Cerpen Kanak-kanak.

Tambahnya, pihak YADIM cuba untuk mencungkil perasaan yang ada pada kanak-kanak tanpa mengira golongan agar mereka mampu meluahkannya dalam bentuk penulisan serta menggalakkan penyertaan secara bertulis tangan daripada peserta.

Sebanyak 306 orang peserta dari seluruh negeri turut terlibat dalam pertandingan ini, dan 10 orang pemenang telah dipilih setelah dinilai oleh juri.

Muhammad Adi Zakwan Mohd Azmi melalui cerpennya bertajuk “Ibu, Maafkan Aku” berjaya merangkul gelaran johan dalam sayembara tersebut. Kemenangan ini membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000.

Sementara itu, cerpen “Saya Rasa Kasihan Tengok Orang Susah” karya Nur Farah Aliah Faizal menang tempat kedua. Beliau berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1500.

Tempat ketiga dimenangi oleh Nur Iman Faiha Mohd Fazlee melalui cerpen “Nazif Itu Bersih”, dan berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1000.

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Cerpen Kanak-kanak dan pelancaran buku terbitan pihak YADIM telah disempurnakan oleh Menteri Agama Malaysia, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Haji Mokhtar.

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan buku Kasih Kami yang menghimpunkan koleksi pemenang Sayembara Cerpen Kanak-kanak bersama dengan tiga lagi buku lain terbitan YADIM.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.