Oleh Nazrul Aziz
4 Jun 2023, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, telah diadakan bengkel deklamasi puisi anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kelab Penyair Deklamator Kebangsaan.

Bengkel ini merupakan satu daripada acara  GAPENA dalam takwim Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) kali ke-37, 2023.

PBAKL 2023 dipilih sebagai lokasi bengkel kerana selain memberikan kesempatan kepada peserta untuk berbengkel dan mendalami ilmu sayembara, peserta juga dapat meluangkan masa untuk berkunjung ke reruai di PBAKL.

Poster bengkel.

Bengkel yang diadakan di Bilik Perhentian Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC) ini telah dibimbing oleh tiga orang pendeklamasi, iaitu Encik Marzuki Ali (juri SDPK), Encik Maarof Seman (Johan Kebangsaan SDPK KE-11, 1997) dan Encik Azmi Ismail (Johan Kebangsaan SDPK ke-26, 2012).

Ketiga-tiga pembimbing ini merupakan mereka yang arif dalam dunia sayembara puisi, terutama Deklamasi Puisi Kemerdekaan.

Menurut penganjur, pada tahun ini pihak GAPENA mengadakan bengkel ini adalah berhasrat untuk memberikan pendedahan awal kepada peserta, terutama peserta yang baru menceburkan diri dalam dunia deklamasi puisi.

Peserta bengkel kali ini bukan sahaja terdiri daripada mereka yang sudah biasa dalam arena deklamasi puisi tetapi turut disertai oleh pelajar sekolah serta mereka yang bukan deklamator tetapi berminat untuk mengetahui tentang dunia deklamasi puisi.

Alumni SDPK turut hadir memeriahkan bengkel dan membantu pembimbing sepanjang bengkel ini berlangsung.

Perkongsian oleh Encik Maarof Seman.

Dalam bengkel tersebut, peserta telah didedahkan dengan beberapa teori dan praktikal berkenaan dengan tonasi suara, gaya dan persembahan serta penghayatan.

Selain itu, turut diadakan ialah sesi praktikal agar peserta dapat mempraktikan apa-apa yang dipelajari oleh mereka sepanjang bengkel berlangsung dan pembimbing dapat memberikan teguran kepada peserta berkaitan dengan cara dan teknik deklamasi yang betul.

SDPK 2023 kali ini akan menggunakan puisi dalam naskhah Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke Sarang Cenderawasih. Antolologi ini mempunyai 45 buah puisi yang boleh dipilih oleh peserta SDPK pada peringkat negeri masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.