2 Jun 2023, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis pelancaran buku Kumpulan Cerita Rakyat Korea terbitan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berlangsung pada 1 Jun 2023, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur  (PBAKL) 2023 telah disempurnakan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Hajah Mastura Haji Muhamad.

Buku Kumpulan Cerita Rakyat Korea yang diterbitkan dalam tiga jilid ini merupakan koleksi penerbitan buku terjemahan baharu hasil daripada Projek Penerbitan Buku Terjemahan yang dikendalikan oleh IIUM Press bersempena status Kuala Lumpur sebagai “Ibu Kota Dunia” yang dinobatkan oleh UNESCO pada tahun 2020 yang lalu.

Datin Paduka Hajah Mastura Haji Muhamad turut berkongsi dalam ucapan perasmiannya yang mengatakan bahawa Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor akan menganjurkan Pesta buku kanak-kanak bermula 27 Julai hingga 30 Julai 2023 di Kompleks PKNS Shah Alam, Shah Alam.

Karnival yang berlangsung selama empat hari itu bakal melibatkan penyertaan daripada penulis, penerbit dan penjual buku tempatan. Tambahnya, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor sekali lagi akan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor pada 1 hingga 10 Disember 2023.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Penerbit UIAM, Roosfa Hashim berkata,

Cerita rakyat memperkenalkan watak syumul dengan perilaku baik yang menjadi contoh dan ikutan pembacanya khususnya kepada golongan muda. Unsur moral yang tinggi pada watak utama cerita rakyat dapat menuntun anak dalam menjalani hidup yang penuh makna. Misalnya unsur moral yang berkaitan dengan kebaikan hati atau kasih terhadap sesama manusia, akal budi yang mulia, keyakinan diri, sehinggalah kepada kecerdikan, kepandaian dan kebijaksanaan. Oleh itu, membaca cerita rakyat akan menyediakan wawasan universal tentang pengalaman manusia kepada anak-anak sambil memperkaya imaginasi mereka.

Tambah beliau, cerita rakyat dapat memperluas wawasan budaya pembaca dengan membaca dan memahami cerita daripada pelbagai budaya, selain memperoleh wawasan, kepercayaan, nilai, serta sejarah yang bermanfaat.

Di celah-celah kisah yang dipaparkan dalam 3 jilid buku ini terdapat kata-kata mutiara yang akan menekankan hikmah daripada setiap kisah dan tersisip banyak pesanan moral yang dapat diambil melalui konflik yang dialami watak utama yang sesuai untuk bacaan pelajar sekolah.

Kumpulan Cerita Rakyat Korea dapat memberikan pengalaman baharu kepada pembacanya kerana mengandungi 24 cerita yang dipilih, disusun secara menarik yang bakal membawa anak-anak kita merantau ke Korea.

Melalui projek ini, 39 judul siri terjemahan buku cerita rakyat dunia telah berjaya diterjemahkan. Buku cerita rakyat Korea dalam 3 jilid ini adalah terjemahan sekumpulan pasukan penterjemah yang diwujudkan oleh IIUM Press sejak projek buku terjemahan dilancarkan pada 2020.

Dalam majlis yang sama, IIUM Press turut menyampaikan hadiah kepada pemenang yang berjaya dalam Program Pertandingan Video Resensi Buku IIUM Press 2023 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tempoh hari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.