Oleh Nazrul Aziz
29 Mei 2023, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suasana di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia masih cinta akan buku, dan mereka lebih memilih untuk mendapatkan bahan bercetak.

Walaupun pada masa ini terdapat banyak medium secara dalam talian yang menawarkan khidmat jualan buku, namun peluang untuk membelek dan meneliti kandungan buku selain promosi jualan murah yang lebih banyak di PBAKL 2023 ini telah menarik orang ramai untuk berkunjung ke sini.

Tinjauan di setiap aras menunjukkan, banyak reruai yang memerlukan kesabaran yang tinggi kerana perlu beratur panjang demi mendapatkan sebuah buku.

PBAKL 2023 merupakan satu daripada tempat terbaik bagi pencinta buku berkumpul kerana di sini terdapat sebanyak 211 syarikat pempaper yang menjual pelbagai jenis genre buku.

Antara aktiviti menarik di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka.

Di samping itu, sesi temu peminat dan ramah mesra juga berjaya menarik pembeli buku untuk berkunjung ke sini. Hal ini memberikan peluang kepada pembeli untuk mengenali penulis buku, malah mereka boleh mendapatkan tandatangan daripada penulis dan berpeluang merakamkan gambar bersama dengan mereka.

Terdapat juga reruai yang mengadakan sesi bedah buku bagi memberikan peluang kepada pembaca untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isi kandungan buku tersebut daripada pandangan penulis sendiri.

Selain itu, di PBAKL 2023 juga terdapat tempat yang dinamakan sebagai ruang Mandiri. Ruang khas ini memberikan peluang kepada penulis persendirian yang menerbitkan karya atau buku sendiri, pembikin zine, illustrator dan pengusaha buku foto.

Kepada peminat buku di luar sana, jangan lepaskan peluang untuk merasai kenikmatan berpesta di PBAKL 2023 yang menawarkan pelbagai jenis buku di lebih 800 reruai buku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.