29 Mei 2023, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 terus dimeriahkan dengan aktiviti anjuran Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di reruai DBP, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC), Kuala Lumpur, petang tadi.

Pada kali ini, enam judul buku hasil karya Puan Maslina Yusoff, iaitu Alah Bisa Tegal Biasa, Bulat Hati, Alip Merajuk, Practice Makes Perfect, Stay the Course dan Alip Runs Away telah dilancarkan oleh YBrs. Dr. Rosmani Omar, mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan DBP.

YBrs. Dr. Rosmani Omar berucap semasa majlis pelancaran karya Puan Maslina Yusoff.

Dalam ucapan perasmian, YBrs. Dr. Rosmani mengucapkan tahniah kepada Puan Maslina atas kejayaannya menghasilkan enam buah buku tersebut.

Menurut YBrs. Dr. Rosmani, pencapaian Puan Maslina dalam bidang penulisan buku kanak-kanak dapat membantu meningkatkan penerbitan buku kanak-kanak dan remaja dengan karya yang bermutu, di samping menerapkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda. Ujar beliau lagi:

Melentur buluh biarlah waktu rebungnya. Diharapkan, dengan adanya dua karakter comel yang menjadi watak utama untuk enam buah buku yang dilancarkan ini menjadi tarikan kepada kanak-kanak untuk membaca dan terus membaca. Sememangnya, orang yang berilmu itu ialah orang yang membaca.

Dalam aktiviti yang sama, turut diadakan sesi bicara kreatif bersama-sama penulis yang dikelolakan oleh Penolong Perancang Bahasa dari Bahagian Majalah, DBP, iaitu Puan Nurarifa Fatema Khairulsani sebagai moderator.

Menariknya, sesi bicara kreatif tersebut turut diserikan dengan kehadiran 10 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Seri Nilam Taman Koperasi Polis, Gombak. Mereka diiringi oleh guru dan ibu bapa.

Dalam sesi tersebut, Puan Maslina telah berkongsi dengan khalayak yang hadir bahawa watak utama Mila yang terdapat dalam buku Alah Bisa Tegal Biasa, Bulat Hati, Practice Makes Perfect dan Stay the Course ialah inspirasi daripada watak anak perempuannya sendiri yang berambut keriting. Bagi watak Alip pula, watak tersebut dicipta bagi memberikan keseimbangan untuk watak utama lelaki.

Puan Maslina Yusoff.

Puan Maslina turut menyatakan bahawa empat daripada karyanya yang dilancarkan pada hari ini membawa tema peribahasa dan simpulan bahasa dalam penceritaan. Hal ini bertujuan agar selain dapat mengambil pengajaran daripada cerita yang dipaparkan, pembaca terutamanya kanak-kanak juga diperkenalkan dengan peribahasa dan simpulan bahasa berserta maksudnya dalam penceritaan tersebut.

Di samping melahirkan rasa syukur dan gembira atas penerbitan buku-bukunya bersama-sama DBP, Puan Maslina berharap agar hasil karyanya ini dapat mengangkat nilai sastera dalam penulisan buku kanak-kanak pada peringkat antarabangsa.

Sebelum mula bergiat aktif dalam bidang penulisan buku kanak-kanak, Puan Maslina Yusoff yang merupakan pemegang ijazah dalam jurusan Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pernah bekerja di syarikat pengiklanan Jepun yang berpusat di Kuala Lumpur.

Setelah sekian lama bekerja sebagai pengarah seni di syarikat tersebut, beliau dan suaminya telah membuat keputusan untuk membuka syarikat pengiklanan mereka sendiri.

Pada tahun 2013, maka terciptalah karakter kanak-kanak perempuan bernama Mila yang berambut keriting. Hingga hari ini, buku siri Mila yang telah diterbitkan sudah mempunyai sembilan buah judul, termasuklah dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Encik Armin Azhari Saleh, diakhiri dengan sesi soal jawab bersama-sama pengunjung yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.