25 Mei 2023, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Norfazrie Isquandy Nurol

Miri – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak, Miri telah menganjurkan Program Bimbingan Penulisan Sajak dan Penerbitan Karya, khusus untuk memupuk minat dan mencungkil bakat penulisan kreatif dalam kalangan pelajar Cina, agar dapat melahirkan lebih banyak penulis Cina di Sarawak yang berkarya menggunakan bahasa kebangsaan.

Penganjuran program sebegini adalah disebabkan Sarawak merupakan sebuah negeri yang unik dengan kepelbagaian bangsa, etnik dan suku kaum rakyatnya. Maka itu, perbezaan budaya dan warisan yang wujud dalam kalangan masyarakat di Sarawak ini seharusnya diketengahkan melalui penghasilan karya sastera seperti sajak dan cerpen.

Program yang diadakan pada 20 hingga 21 Mei 2023 di Pustaka Negeri Sarawak, Miri ini adalah selaras dengan usaha DBPCS bersama-sama akhbar Sin Chew Daily untuk menyiarkan penulisan kreatif dalam bahasa kebangsaan daripada penulis Cina dalam ruangan “Bahasa Ekspresi Sastera Tunas” akhbar tersebut.

Program selama dua hari ini menampilkan dua orang pembimbing, iaitu Encik Mohamad Faizal Jamil, Munsyi Dewan (Sastera) dan Puan Saidatul Faiqah Samasu, editor penerbitan berkala, DBPCS.

Peserta telah diberikan bimbingan secara teori oleh Encik Mohamad Faizal Jamil untuk membantu mereka memahami asas dan teknik penulisan sajak. Perkara ini untuk memudahkan mereka apabila melaksanakan tugasan amali, iaitu menulis sajak untuk dibincangkan dan ditambah baik dalam sesi yang seterusnya.

Puan Saidatul Faiqah sedang memberikan bimbingan kepada peserta mengenai penulisan sajak dan penerbitan karya.

Dalam Sesi Bersama Editor pula, Puan Saidatul Faiqah Samasu telah memberikan perkongsian tentang ruang dan peluang penerbitan karya melalui akhbar, majalah terbitan DBP mahupun pelantar digital DBP.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar peserta memulakan idea penulisan mereka dalam bahasa natif masing-masing sebelum menterjemahkan ilham tersebut kepada bahasa Melayu sebagai permulaan dan galakan.

Peserta yang sangat responsif sepanjang sesi Bimbingan Penulisan Sajak dan Penerbitan Karya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.