22 Mei 2023, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama DBP Wilayah Timur dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah melaksanakan Program Bimbingan dan Penghayatan Puisi melibatkan 70 orang pelajar terdiri daripada pelajar Fakuli Teknologi Kreatif dan Warisan, UMK.

Poster program.

Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP, iaitu Puan Norjanah Yusof dalam ucapan sewaktu membuka tirai program berkata,

DBP berharap peserta dapat menghasilkan karya setelah mengikuti program ini. DBP telah melahirkan banyak penulis berbakat melalui program bimbingan dan penataran sastera. Program ini bermatlamat dapat melahirkan penulis baharu yang berbakat. Pembimbing akan mengenal pasti karya puisi peserta yang baik untuk dikirimkan untuk penerbitan majalah DBP. Selain itu, pembimbing juga akan mengesan peserta yang berbakat untuk terus digilap bakatnya. Diharapkan selepas mengikuti program ini, semua peserta akan bersemangat dan dapat menyahut cabaran menjadi penulis yang berjaya kelak.

Puan Norjanah Yusof bersama-sama Nimoiz T.Y .

Program sempena Festival Bahasa dan Sastera 2023 Peringkat Negeri Kelantan  ini telah dibimbing oleh Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub atau Nimoiz T.Y, penulis dan pembimbing terkenal tanah air.

Antara pengisian yang ditekankan oleh Nimoiz T.Y sepanjang program dua hari tersebut, ialah “Memasuki Gerbang Penulisan Kreatif”, “Asas Penulisan Puisi”, “Bengkel Puisi dan Bedah Karya”, “Terjah Media dan Berkarya di Tunas Cipta” serta “Asas Deklamasi Puisi”.

Nimoiz memberikan galakan kepada peserta untuk berkarya dengan majalah Tunas Cipta.

Antara aspek yang ditekankan oleh Nimoiz kepada pemula untuk berkarya adalah mendapatkan ilham atau idea dalam penulisan, honorarium atau royalti sebagai dorongan, disiplin dalam penulisan dengan menjauhi ciplak, cuplik atau plagiat  dan mengambil tahu sedikit sebanyak tentang akta dan undang-undang yang berkaitan seperti akta hak cipta, fitnah dan hasutan, siber dan keselamatan negara.

Di samping itu, Nimoiz juga amat menekankan kepentingan sastera sebagai pembangun insan, masyarakat, ekonomi dan negara.

Bagi beliau, antara ciri-ciri menjadi penulis yang berjaya ialah mestilah berbakat dan berminat, memiliki azam dan cita-cita, banyak membeli dan membaca buku dan majalah, melakukan kajian lapangan dan penyelidikan, berdisiplin dan bijak mengurus waktu.

Pemula bolehlah membaca majalah DBP yang berwibawa untuk panduan berkarya seperti majalah Tunas Cipta, Dewan Siswa dan Dewan Sastera.

Ulas Nimoiz selepas selesai bengkel,

Sastera merupakan lambang jati diri bangsa. Proses menyemai nilai-nilai murni ke arah pembentukan jati diri bangsa seharusnya bermula daripada rebung. Peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UMK menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang padu semasa bengkel. Sinergi hubungan akrab antara DBP sebagai badan penaung bahasa dengan UMK seharusnya diteruskan pada masa-masa mendatang. Malaysia sememangnya memerlukan pelapis penulis muda yang terdiri daripada pelajar yang kompeten yang akrab sastera dalam diri.

Bagi Atiqah Zakirah (21), mahasiswi UMK yang merupakan satu daripada peserta program. Beliau menyifatkan bahawa bengkel ini merupakan pengisian ilmu wadah sastera yang memberikan manfaat serta informasi yang berguna kepada peserta di samping mencungkil bakat baharu yang terpendam.

Ujarnya,

Bengkel ini secara tidak langsung telah memberikan suntikan semangat baharu kepada saya untuk terus meneruskan minat dalam bidang penulisan serta memperbaiki apa-apa yang masih kurang dengan hasil karya saya pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.