Oleh Nazrul Aziz
22 Mei 2023, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Temasya Pantun Kerabat Bestari (TEPAK Bestari) 2023 yang melabuhkan tirai pada hari Ahad, 21 Mei 2023 dilihat sebagai medan temu kembali bagi alumni pemantun yang pernah bertanding pada Pesta Pantun Bestari untuk siri terdahulu.

Jauhari atau lebih dikenali sebagai hakim atau juri untuk sesebuah pertandingan merupakan individu penting dalam menilai pasukan yang lebih layak memenangi pertandingan tersebut.

Peserta bergambar kenangan dengan jauhari.

Sebanyak 27 orang jauhari telah dipilih untuk mengadili TEPAK Bestari 2023. Pemilihan jauhari adalah berdasarkan pengalaman serta pengetahuan dalam bidang pantun kerana selain pernah menjadi peserta pantun, jauhari ini masih lagi aktif dalam lapangan pantun seperti menjadi jurulatih pasukan pantun, menghasilkan karya (terutamanya pantun) serta turut terlibat sebagai penganjur untuk beberapa pertandingan pantun.

Selain itu, jauhari yang terlibat kali ini pernah memenangi bukan hanya pertandingan pantun dalam negara, bahkan pernah memenangi pertandingan pantun di luar negara seperti Pesta Pantun Singapura dan Tarung Pantun Batam Indonesia.

Selain itu, terdapat juga jauhari yang telah menghasilkan karya pantun yang pernah diterbitkan dalam beberapa media cetak mahupun media elektronik termasuklah majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta laman JendelaDBP.

Pengalaman serta pengetahuan ini amat berguna bagi jauhari tatkala menjadi juri kepada peserta sepanjang pertandingan. Segala selok-belok jual beli pantun diketahui oleh jauhari amat memudahkan proses mengadili.

Penganjuran yang mendapat kerjasama daripada Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP ini telah mengangkat tema “Gerbang Majika Bestari Lambang Budaya Tradisi” menampilkan 16 buah pasukan yang bertanding.

Menurut Encik Wan Mohd Akmal, selain bertindak sebagai hakim untuk pertandingan ini, peluang menjadi jauhari pertandingan ini begitu bermakna kerana dapat bersua kembali dengan rakan pemantun yang pernah menjadi “seteru” di gelanggang.

Walaupun suatu ketika dahulu berlainan pasukan, namun atas nama kecintaan terhadap dunia pantun, silaturahim antara pemantun tetap terjalin erat.

Bagi Encik Nazrullah, walaupun kebanyakan jauhari bukan daripada mereka yang mempunyai latar belakang bahasa mahupun sastera, namun itu bukanlah penghalang untuk jauhari mengadili pertandingan ini.

Minat yang mendalam dapat dilihat dalam jiwa setiap jauhari pantun kerana mereka tidak pernah berhenti mendalami ilmu serta pengetahuan berkaitan dengan pantun.

TEPAK Bestari 2023 telah bermula pada 19 Mei 2023. Sebanyak lima saringan telah diadakan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM). Pusingan akhir pula telah diadakan pada 21 Mei 2023 di Auditorium Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM).

Pusingan akhir telah menobatkan pasukan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman sebagai johan, manakala Universiti Teknologi Mara Puncak Alam sebagai naib johan. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan dari Universiti Islam Antarabangsa. Hadiah telah disampaikan oleh Encik Rahimi Arifin, Ketua Bahagian Penguatkuasaan, DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.